‘Saya sebagai ibu sangat setuju kalau denda begini diberikan kepada pelajar yang datang lambat ke sekolah’

Viral di media sosial gambar-gambar sekumpulan pelajar lelaki yang datang lambat ke sekolah didenda Solat Dhuha di dataran perhimpunan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seksyen 7, Shah Alam, mencetuskan pelbagai reaksi positif netizen.

Gambar yang dimuat naik Puan Eizan Ariffin itu telah dikongsi 2,252 semenjak dimuat naik 3 Januari lalu.

“Tiba-tiba hati seorang ibu seperti saya tersentuh melihat gambar-gambar ini yang dikongsikan oleh seorang sahabat dalam group WhatsApp. Bergenang pula kelopak mata ini. Katanya, para pelajar ini didenda Solat Dhuha di dataran perhimpunan kerana datang lambat ke sekolah pagi ini.

“Masya-Allah, serius saya sebagai seorang ibu sangat setuju kalau denda begini yang diberikan. Apa pun, saya tabik pengetuanya, guru-gurunya yang bukan saja mengajar tetapi mendidik.

“Bukan sahaja boleh mendidik hati dan disiplin anak-anak, malah ibu bapa juga akan terkena tempiasnya. Mesti kita pun sebagai ibu bapa juga mahu memperbaiki diri, harus lebih bijak menguruskan masa, lebih berdisiplin dan menghormati peraturan orang lain.

“InshaAllah kita pun akan menjadi lembut hati untuk keluar lebih awal menghantar anak-anak ke sekolah. Ajar diri kita untuk bangun lebih awal daripada biasa dan kejutkan anak-anak lebih awal. Jadi tak adalah kes anak tertinggal van atau bas sekolah, tersangkut dalam kesesakan dan sebagainya sehingga lambat sampai ke sekolah.

“Sebagai ibu, saya melihat ia daripada sudut yang positif. Yang mana kurang, kita perbaiki. Al-maklum hari pertama dan kedua persekolahan, trafik memang sesak. Kebanyakan ibu bapa hantar sendiri anak-anak dalam sehari dua ini termasuk saya sendiri. Memang jalan nak masuk ke sekolah, sesak.

“Apa pun sebagai anggota masyarakat, sama-sama kita mendoakan yang terbaik buat semua. Moga-moga tidak ada ibu bapa yang mempertikaikan denda sebegini. Kita dulu-dulu pun bukan baik mana, kan?” demikian tulis Puan Eizan Ariffin.

REAKSI NETIZEN

Sementara itu, pengetuanya, Siti Salmiah Yaakob berkata, idea untuk mengenakan denda tersebut sebenarnya sudah lama diamalkan oleh pihak sekolah dan beliau tidak menyangka ia akan viral di media sosial baru-baru ini.

“Sebelum ini, mereka yang lewat ke sekolah akan diminta menunaikan solat Dhuha di surau. Cuma baru-baru ini denda itu dilakukan di dataran perhimpunan pada hari kedua sekolah dibuka.

“Sepatutnya pelajar teruja nak ke sekolah masa awal-awal tahun. Tetapi mereka datang lambat pula,” katanya memetik laporan dari mStar Online.

Jelas beliau, hampir 50 pelajar yang datang lewat pada hari tersebut memberikan alasan bangun lambat serta singgah menikmati sarapan pagi di kedai berhampiran kawasan sekolah.

“Bila mereka beri alasan bangun lambat, jadi kita anggap mungkin mereka tidak solat Subuh. Pihak sekolah denda tunaikan solat Dhuha dengan harapan solat-solat sunat ini dapat ‘top up’ mana-mana amalan yang kurang,” katanya yang telah menjawat jawatan pengetua di sekolah itu sejak 2016.

Leave a Comment