Agihan peruntukan sama rata kepada semua Ahli Parlimen

Kongsikan Artikel ini

Ketua Penerangan Pas Ir Khairil Nizam Khirudin berkata semua Ahli Parlimen termasuk pembangkang perlu diberi peruntukan sama rata.

Ketua Penerangan Pas Ir Khairil Nizam Khirudin berkata semua Ahli Parlimen termasuk pembangkang perlu diberi peruntukan sama rata.

SHAH ALAM – Semua ahli parlimen termasuk daripada pembangkang perlu diberi peruntukan sama rata.

Ketua Penerangan Pas Ir Khairil Nizam Khirudin berkata perkara itu turut termaktub dalam manifesto Pakatan Harapan (PH), gabungan yang kini menerajui kerajaan perpaduan.

“Dalam perbahasan Dewan Negara sebelum ini, Perikatan Nasional (PN) mengemukakan hujah iaitu bagi mewujudkan kerjasama yang baik antara kerajaan dan pembangkang, perkara asas yang perlu diutamakan ialah peruntukan Ahli Parlimen mestilah sama dengan satu keseluruhan.

“Kita lihat hubungan simbiotik antara pembangkang dan kerajaan perlu dilaksanakan secara telus tanpa syarat seperti yang diamalkan semasa PN dan kerajaan Keluarga Malaysia,” katanya dalam catatan di Facebook pada Ahad.

Ahli Parlimen Jerantut itu berkata PN menjanjikan empat kriteria yang perlu diutamakan sebagai pembangkang melalui pendekatan yang membina, bekerjasama, bertanggungjawab dan setia.

Beliau berkata janji itu akan ditunaikan melalui perbahasan yang lebih berkesan, membangunkan dasar yang memberi manfaat kepada rakyat dan kejujuran dalam melaksanakan tanggungjawab sebagai suara rakyat.

“Empat kriteria yang dijanjikan PN kepada rakyat adalah penting untuk amanah yang diberikan kepada kita,” katanya.

Tambahnya, agenda transformasi institusi Parlimen perlu diutamakan termasuk pemerkasaan Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) dan jawatankuasa lain.

Beliau berkata ia bagi memastikan setiap perjalanan kerajaan berlandaskan integriti dan kepentingan rakyat, menolak budaya rasuah, kronisme dan monopoli.

“PN akan memastikan empat pendekatan ini dilaksanakan dengan berkesan untuk kita memainkan peranan semak dan imbang yang berkesan dan bermanfaat kepada rakyat dan negara.

“Kita semua mengimpikan sebuah kerajaan yang tidak menimbulkan dendam dan pertikaian lama tetapi terus fokus kepada agenda membantu rakyat menghadapi krisis ekonomi dan sosial yang semakin membimbangkan,” katanya

sinardaily[dot]my

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *