KUALA LUMPUR: Janna Nick atau Nurul Jannah binti Munir merangkul trofi Pelakon Filem Wanita Popular, Anugerah Bintang Popular BH (ABPBH) Ke-34 dengan undian tertinggi dalam sejarah penganjuran ABPBH sebanyak 86,374,777 menewaskan calon ‘favourite’ lain seperti Haqiem Rusli, Siti Nordiana, Khai Bahar, Siti Saleha dan Ben Amir.
“Saya fikir rezeki calon lain seperti Nelydia Senrose dan Sherry Alhahad yang menggenggam trofi ini.
Namun, saya memanjat kesyukuran atas kenikmatan dan kemenangan ini. Terima kasih penyokong
saya termasuk kelab peminat Janna Nicker yang selalu bersama” katanya.
Selain trofi utama, pelakon, pengacara, penyanyi dan pengarah popular berusia 26 tahun ini membolot trofi Pelakon Filem Wanita Popular mengetepikan empat calon lain iaitu Sherry Alhadad, Nelydia Senrose, Zahirah MacWilson dan Aprena Manrose.
Selain trofi, Janna menerima sebuah kereta dan telefon pintar Xiaomi 11T Pro (8GB + 256GB) bernilai RM2,099 sumbangan penaja utama ABPBH 34, Xiaomi.
ABPBH 34 yang bertemakan #KITABERSAMA dibawakan Bersama oleh Xiaomi dan dikendalikan tanpa penonton mengikut prosedur operasi standard (SOP) Majlis Keselamatan Negara.
Sementara itu, ABPBH 34 yang melabuhkan tirai malam tadi, mencipta beberapa kejutan termasuk kemenangan calon ‘underdog’ sekali gus mencerminkan cita rasa dan kecenderungan pengundi yang beralih kepada kandungan platform digital sejak penularan pandemik COVID-19, kira-kira dua tahun lalu.
Antara kejutan ABPBH 34, remaja autisme berusia 19 tahun, Asif Suhaimi menewaskan calon ‘senior’ apabila diumumkan pemenang kategori Artis Komedi Popular.
Mula mengumpan peminat apabila muncul dalam Drama Spontan di YouTube disusuli filem bajet rendah, Mael Totey The Movie arahan sepupu, Syahmi Sazli yang mencetuskan fenomena pada era pandemik COVID-19, Asif mencuit hati dengan gelagat bersahaja dan dialek Kelantan.
Asif menewaskan artis nama besar iaitu Jep Sepahtu, Shuib Sepahtu, Atu Zero dan Ain Edruce yang bersaing dalam kategori sama.
Kejayaan bakat baharu, Dinie Rashid menewaskan pesaing terdekat, Meerqeen dengan membolot trofi Artis Baharu Lelaki Popular juga mengejutkan peminat.
Keputusan ABPBH 34
Bintang Paling Popular: Janna Nick
Anugerah Pencapaian Sepanjang Hayat: Datuk Habsah Hassan
Kategori Utama
Artis Baharu Lelaki Popular: Dinie Rashid
Artis Baharu Wanita Popular: Dolla
Penyanyi Lelaki Popular Xiaomi: Haqiem Rusli
Penyanyi Wanita Popular Xiaomi: Siti Nordiana
Pelakon Filem Lelaki Popular: Fattah Amin
Pelakon Filem Wanita Popular: Janna Nick
Pelakon TV Lelaki Popular: Ben Amir
Pelakon TV Wanita Popular: Siti Saleha
Penyampai Radio Popular: DJ Lin
Pengacara TV Popular: Janna Nick
Artis Versatil Popular: Siti Nordiana
Artis Komedi Popular: Asif Suhaimi
Artis Kolaborasi/Duo/Berkumpulan Popular: Aina Abdul dan Khai Bahar (lagu Nafas Cinta)
Watak Animasi Popular: Ejen Ali
Kategori Online
Gandingan Serasi Drama Popular: Kamal Adli dan Uqasha Senrose (drama Perempuan Tanpa Dosa)
Gandingan Serasi Filem Popular: PU Riz dan Wanna Ali (filem Ada Apa Dengan Dosa)
Watak Antagonis Popular: Liza Abdullah
YouTuber Popular: Aqil Zulkiflee
Artis TikTok Popular: Khai Bahar
Anugerah FANtastik Popular: Siti Nordiana FC