Anwar pada Majlis Anugerah Sukan Negara 2021 di Majlis Sukan Negara Bukit Jalil pada Selasa. – Foto Bernama
KUALA LUMPUR – Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata beliau terbuka untuk menerima komen dan akan menjelaskan pelantikan anaknya Nurul Izzah sebagai penasihat kanan ekonomi dan kewangannya.
Mengulangi bahawa pelantikan itu tidak melibatkan sebarang bayaran, Anwar berkata beliau mahu Nurul Izzah membantu kerajaan, termasuk dalam memastikan pentadbiran yang telus dan pemberian tender kerajaan yang sewajarnya.
“Saya mengambil komen secara positif. Saya menjelaskan ia berbeza dengan pengalaman sebelum ini yang mana semua pelantikan biasanya melibatkan soal gaji dan ganjaran.
“Dia (Nurul Izzah) datang tolong. Itu sahaja, bukan nak ambil projek,” katanya kepada pemberita selepas majlis Anugerah Sukan Negara 2021 di sini hari ini.
Anwar turut mempersoalkan pengkritiknya yang menurutnya tidak menjalankan pentadbiran yang telus malah memberikan kontrak dan tender bernilai jutaan ringgit kepada ahli keluarga mereka.
“Sebab itu saya sedia menerima komen. Jika (mereka) ikhlas saya tiada masalah kerana saya komited untuk memastikan tiada amalan tidak sihat dalam pentadbiran kerajaan,” tambahnya.
Mengenai kritikan bahawa pelantikan itu berbau nepotisme, Anwar berkata nepotisme hanya berlaku jika seseorang diberi jawatan untuk menyalahgunakan kuasa, memperkayakan diri, mengumpul kontrak dan mendapat gaji tinggi.
Sementara itu, mengulas mengenai kejatuhan Malaysia untuk tahun ketiga dalam Indeks Persepsi Rasuah (CPI), Anwar berkata beliau yakin Malaysia akan pulih dan melakukan lebih baik tahun depan.
Anwar berkata Kerajaan Perpaduannya telah menghantar mesej jelas bahawa mereka tidak akan bertolak ansur dengan rasuah dan penyalahgunaan kuasa dan akan mengambil tindakan tegas untuk memerangi wabak itu.
“Kerajaan ini masih baru… kita ikhlas dan fokus kepada tindakan memerangi rasuah, dan dalam perkara ini saya memberi sokongan penuh kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia untuk melaksanakan tugasnya,” katanya.
Menurut laporan Transparency International (TI), Malaysia berada di kedudukan ke-61 daripada 180 negara dengan skor 47 mata pada CPI 2022, berbanding ke-62 dengan 48 mata pada 2021.- BERNAMA
Sumber dipetik:
sinardaily[dot]my