Bayaran melalui Terusan Suez dinaikkan

Kongsikan Artikel ini

KAHERAH – Kerajaan Mesir mengumumkan kenaikan yuran transit bagi semua jenis kapal termasuk pengangkut minyak yang melalui Terusan Suez, lapor stesen penyiaran ABC kelmarin.

Pihak Berkuasa Terusan Suez (SCA) dalam satu kenyataan berkata, sebanyak 15 peratus kenaikan bayaran akan dikenakan kepada kapal tangki yang membawa minyak dan produk petroleum, di samping 10 peratus peningkatan untuk pengangkut pukal kering serta kapal persiaran.

Pengerusi SCA, Osama Rabie berkata, kenaikan yang akan berkuat kuasa pada 1 Januari 2023 itu adalah tidak dapat dielakkan dan merupakan satu keperluan.

Menurut beliau, faktor yang mencetus kepada kenaikan tersebut adalah kadar inflasi global yang semakin melonjak, sekali gus meningkatkan kos operasi, penyelenggaraan dan perkhidmatan maritim laluan air paling penting di dunia itu.

Kira-kira 10 peratus daripada kapal dagangan global termasuk tujuh peratus daripada kapal minyak di dunia menggunakan Terusan Suez.

Pihak berkuasa berkata, terdapat 20,649 kapal melalui terusan itu pada tahun lepas, peningkatan 10 peratus berbanding 18,830 kapal pada 2020. 

Ia sekali gus menjadikan pendapatan yang diperoleh daripada laluan di situ sebagai sumber utama penyaluran mata wang asing ke Mesir.

Pendapatan tahunan Terusan Suez pada 2021 mencecah AS$6.3 bilion (RM28.5 bilion), jumlah tertinggi dalam sejarah negara.

Negara itu bagaimanapun kini berdepan cabaran ekonomi yang serius dan semakin kehabisan mata wang asing yang diperlukan untuk membeli keperluan komoditi seperti bijirin serta bahan api. – Agensi 

Source link

Leave a Reply

Your email address will not be published.