“Beli di Pulau Pinang”, kata MB Kedah akan haram kedai nombor ekor.

Kongsikan Artikel ini

ALOR SETAR: Kerajaan Negeri Kedah akan melarang operasi semua kedai nombor ekor dengan tidak memperbaharui lesen perniagaan mereka dalam usaha menjadikan negeri Kedah bebas aktiviti perjudian.

Aktiviti perjudian telah menyebabkan keruntuhan institusi kekeluargaan dan tamadun, selain terbeban masalah hutang. Kata Menteri Besar, Muhammad Sanusi Md Nor.

“Kerajaan tidak akan beri lesen (baharu), kalau you nak beli (nombor ekor), beli di Pulau Pinang.

“Saya Islam tak boleh main judi. Nanti kat akhirat saya kena tanya, aktiviti macam ni anda buat apa? Kalau saya cakap saya tak buat, saya kena tibai. Sementara saya ada kuasa, baik saya gunakan,” katanya lagi pada sidang media selepas membentangkan Bajet 2022 Kedah.

Beliau berharap semua pihak, termasuk penduduk negeri itu memahami keputusan kerajaan negeri untuk tidak memperbaharui lesen premis perjudian.

“Bila ada premis, wujud aktiviti, bukan saja bukan Islam (yang terlibat), jadi saya harap (keputusan ini) dapat difahami dengan seadil-adilnya”.

“Manfaat kepada premis judi tak banyak pun, melainkan hanya tauke saja yang untung, (selain itu) lebih banyak mudarat kepada orang ramai,” katanya lagi.

Sanusi berkata, mesyuarat Exco minggu lalu turut memutuskan untuk mengehadkan penjualan minuman keras di semua premis, khususnya kawasan luar bandar yang tiada permintaan.

“Di PBT (pihak berkuasa tempatan) yang tiada permintaan, khususnya di luar bandar, penjualan di premis minuman keras juga akan dihadkan.

“Kita juga telah berbincang dengan kedai bebas cukai di Langkawi dan kedai lain yang tidak mempunyai lesen, tidak lagi menjual arak secara terbuka untuk menjamin akal fikiran rakyat kita agar kekal waras.”

Sumber: Free Malaysia Today