Megat Zulkarnain (duduk di tengah) pada sidang media di Bangunan Kumpulan Muara pada Jumaat – GAMBAR FAIL
SHAH ALAM – Barisan Nasional (BN) Selangor akan berunding dengan Pakatan Harapan (PH) sebaik selesai perbincangan mengenai pembahagian kerusi dengan parti komponen lain iaitu MCA dan MIC untuk pilihan raya negeri akan datang.
Pengerusi Umno Selangor Datuk Megat Zulkarnain Omardin berkata pertemuan dengan PH akan dimuktamadkan selepas semua komponen BN bersetuju jumlah kerusi yang akan ditandingi BN pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Selangor yang dijangka diadakan tidak lama lagi.
“(Rundingan) kita serahkan kepada PH untuk memikirkan bagaimana kita boleh memulakan rundingan atas semangat Kerajaan Perpaduan,” katanya pada sidang media di Bangunan Kumpulan Muara pada Jumaat.
Megat Zulkarnain berkata Umno sudah mengenal pasti kerusi yang akan ditandingi termasuk lima kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor yang dimenangi pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14).
“Kita tidak perlu tahu jumlah (kerusi yang ditandingi Umno) sekarang. Selepas dipersetujui, maka itu keputusan yang kita akan patuhi dan kita akan pastikan untuk bertanding pada PRN Selangor,” katanya.
Bagaimanapun, beliau menjelaskan bahawa Presiden Umno Datuk Seri Zahid Hamidi telah pun dimaklumkan mengenai jumlah kerusi yang dijangka akan dipertandingkan pada pilihan raya negeri akan datang.
Khabarnya PH Selangor sedia berbincang dengan BN untuk persiapan PRN.
Pengerusinya Datuk Seri Amirudin Shari mahu menyelesaikan perkara itu di peringkat PH Selangor terlebih dahulu termasuk meneliti beberapa kemungkinan.
Sementara itu Umno Selangor mengesahkan Ketua Umno Bahagian Subang, Datuk Armand Azha Abu Hanifah akan bertanding jawatan Ketua Pemuda pada pemilihan parti pada Mac ini.
Pengerusi Umno Selangor berkata, selain Armand Azha, nama lain di Selangor juga akan bertanding untuk berada dalam Majlis Tertinggi Umno.(MKT)
Menurutnya, antara nama yang menyatakan hasrat untuk bertanding MKT ialah Ketua Umno Bahagian Sungai Besar Datuk Seri Jamal Md Yunos, Ketua Umno Hulu Langat Datuk Johan Abdul Aziz dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Hulu Bernam Rosni Sohar.
“Kita sudah maklumkan dalam Mesyuarat Umno Selangor, mana-mana ahli Umno mahu bertanding dalam pemilihan parti, mereka boleh menyatakan hasrat mereka kepada Umno negeri untuk dibawa ke peringkat Umno Pusat,” katanya pada sidang media di Dewan Undangan Negeri. Bangunan Kumpulan Muara pada hari Jumaat.
Megat Zulkarnain berkata pemilihan parti di peringkat negeri akan dipengerusikan oleh Pengerusi veteran Umno Selangor Salamon Selamat dan jawatankuasanya.
“Jawatankuasa pemilihan parti ini akan memantau perjalanan proses pemilihan di peringkat negeri,” katanya.
Sumber dipetik:
sinardaily[dot]my