Culik lelaki Plaestin 11 individu didakwa

Kongsikan Artikel ini
Individu yang didakwa di Mahkamah Majistret - BERNAMA

Individu yang didakwa di Mahkamah Majistret – BERNAMA

KUALA LUMPUR – Sebelas individu termasuk seorang wanita didakwa di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan menculik seorang lelaki Palestin bagi mendapatkan maklumat mengenai perisian untuk menggodam telefon bimbit.

Mereka ialah Edy Ko’im Said, 40; Mohamad Norakmal Hassan, 41; Dody Junaidi, 42; Tengku Arif Bongsu Tengku Hamid, 39; Mohamad Naziree Mustapha, 39; Faizull Hardey Mohd Isa, 40; Muhammad Iqmal Abdul Rahis, 25; Mohamad Sufian Saly, 23; Muhammad Al Hatim Mohd Fauzi, 21; Nidarahayu Zainal, 34; dan Raibafie Amdan, 39.

Kesemua tertuduh mengangguk faham ketika pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Wong Chai Sia, namun tiada pengakuan direkodkan kerana kes itu terletak di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.

Mengikut pertuduhan, mereka didakwa telah menahan Omar ZM Albelbaisy Raeda dengan niat bersama untuk mendapatkan maklumat rahsia menyahaktifkan perisian komputer yang digunakan untuk menggodam telefon bimbit.

Mereka didakwa melakukan perbuatan itu di Jalan Mayang di sini pada jam 10.40 malam, 28 Sept lepas dan didakwa mengikut Seksyen 3 Akta Penculikan 1961, dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara seumur hidup dan sebat jika sabit kesalahan .

Mahkamah tidak membenarkan semua tertuduh diikat jamin selepas timbalan pendakwa raya Fatin Hanum Abdul Hadi menyatakan kesalahan itu tidak membenarkan jaminan. Kes ditetapkan untuk sebutan pada 15 Dis.

Pada 5 Okt lalu, media melaporkan polis menyelamatkan mangsa berusia 31 tahun sehari selepas diculik oleh sekumpulan individu yang menaiki kenderaan pelbagai guna (MPV) Toyota Vellfire.

Mangsa berjaya diselamatkan selepas polis menahan 18 orang dalam operasi berasingan di Kuala Langat, Ampang, Beranang di Selangor dan Melaka dari 29 Sept hingga 4 Okt lepas.

Siasatan mendapati mangsa memasuki negara ini pada 21 Sept lalu sebagai pelancong dan dipercayai menetap di Eropah dan tidak menolak kemungkinan dia seorang ahli perniagaan. – BERNAMA

Source link

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *