KUALA LUMPUR – Dalang sindiket dalang pemalsuan dokumen Imigresen akhirnya berjaya ditumpaskan dengan tertangkapnya seorang lelaki warga Pakistan dalam satu operasi khas Jabatan Imigresen di Setapak, 12 November lalu.

Dalam operasi berkenaan yang dijalankan oleh Bahagian Perisikan dan Operasi Khas Jabatan Imigresen Malaysia (JIM), suspek warga Pakistan berusia 37 tahun itu ditahan di sebuah premis kondominium mewah di Setapak. Salah satu bilik dijadikan tempat pemprosesan pelbagai jenis dokumen palsu untuk warga asing.
Pihaknya menemui set peralatan komputer, mesin pencetak kad, pelbagai jenis cap perwakilan asing dan lain-lain peralatan untuk digunakan dalam aktiviti haram itu,ujar KP JIM, Datuk Khairul Dzaimee Daud.
“Pemeriksaan lanjut turut menjumpai pelekat-pelekat Pas Lawatan Kerja Sementara (PLKS), lesen memandu Malaysia dan visa negara asing siap cetak, stok pelekat yang masih kosong. Wang tunai berjumlah RM13,710 disyaki hasil jualan dokumen palsu berkenaan turut ditemui.”
Menurutnya lagi, siasatan lanjut terhadap suspek telah membawa pasukan operasi ke sebuah lagi kondominium di Jalan Genting Kelang yang turut disewa untuk kegiatan itu.
“Pemeriksaan di premis tersebut telah menjumpai cap-cap Pas Lawatan Sosial (PLS) dan lain-lain cap rasmi JIM palsu yang digunakan untuk pemalsuan dokumen.
“Suspek juga dikesan menyewa beberapa kondominium mewah yang mempunyai kawalan keselamatan ketat bagi menyukarkan siasatan dan dihidu oleh pihak berkuasa,” ujarnya.
Tambahnya lagi, sindiket pemalsuan dokumen Imigresen ini wujud sejak setahun lalu di mana suspek akan mengenakan bayaran antara RM300 hingga RM500 bagi setiap pelekat PLKS bergantung kepada kualiti yang dikehendaki dan RM50 untuk lesen memandu palsu.
“Kegiatan haram ini telah menyebabkan kerugian hasil kerajaan khususnya dalam bentuk bayaran levi pekerja asing hingga mencecah jutaan ringgit.
“Sindiket itu menggunakan modus operandi dengan menggunakan PLKS sebuah syarikat pembersihan sebagai lesen untuk suspek bergerak bebas bagi menjalankan aktiviti yang menyalahi undang-undang ini,” ujarnya.
Suspek akan ditahan di Depot Imigresen Semenyih untuk tindakan susulan dan kes disiasat dibawah Seksyen 55D Akta Imigresen 1959/63 kerana kesalahan menghasilkan dokumen palsu dan Peraturan 39(b) Peraturan-Peraturan Imigresen 1963 bagi kesalahan melanggar syarat pas.
Sumber: Kosmo.com.my
Baca juga: Perang Mulut TMJ & MB Kedah