Deklamasi puisi di tempat tinggi telah ada berdekad-dekad lalu

Kongsikan Artikel ini


Mendengar kenyataan Ketua Pengarah Jabatan Kesenian dan Kebudayaan Negara (JKKN), Haji Mesran Mohd Yusop semasa berucap menyempurnakan perasmian Baca Puisi Kemerdekaan @ KL di Amphiteater Menara Kuala Lumpur pada 28 Ogos lalu, mengingatkan saya pada pengalaman mendeklamasikan puisi di tempat-tempat tinggi.

Kata Haji Mesran, kedudukan puisi wajar diangkat setingginya. Membaca dan mendeklamasikan puisi di tempat yang tinggi seperti Menara Kuala Lumpur memang wajar sebagai simbolik/manifestasi kedudukannya itu.

Sebagai tanda menghargai puisi, beliau turut mendeklamasikan sajak berjudul Laungan Kemerdekaan – seperti mahu menyesuaikan perbuatan melaungkan memang dari tempat yang tinggi-tinggi.

Sebenarnya, jika mahu menyingkap pengalaman berpuisi di tempat-tempat tinggi, saya pernah mendeklamasikan sajak dalam majlis mengenang Grup Teater Elit anjuran Seniman Paksi Rakyat (Paksi) di Sanggar Tun Seri Lanang, Tingkat 33, Menara DBP pada November 2019.

Lebih dua dekad lalu, iaitu pada November 1998, saya menyertai Seminar Penulis Generasi Baharu (lebih kurang begini nama programnya) di Hotel Seri Malaysia, Genting Highlands, dan turut mendeklamasikan sajak di situ.

Saya juga pernah membantu Tajulmedia Melayu menganjurkan Bicara Puisi Bukit Nanas di Dataran Meranti, Taman Eko-Rimba KL: Hutan Simpan Bukit Nanas dari 30 Julai 2016 hingga 27 Januari 2018.

Dianjurkan oleh Paksi dan Institut Darul Ehsan (IDE), saya beberapa kali pernah mendeklamasikan sajak dalam program Baca Puisi Bumbung di bangunan IDE itu pada sekitar 2018-2019.

Datuk Ahmad Tarmimi Siregar mendeklamasikan sajak karya Roslan Madun, Di Mana Tuhan Ketika Kebohongan Dijeritkan.

Pada 10 Februari 2022 lalu, di Kebun Che Mah, Bukit Tabur, Kemensah, setinggi kira-kira 900 meter, saya turut mendeklamasikan sajak diiringi petikan gitar Tam Spider dalam program Che Mah meraikan kunjungan pihak media dan kakitangan Agro Bank, Kuala Lumpur.

Walaupun kita wajar membawa puisi ke tengah-tengah masyarakat atau di luar bangunan seperti jalan raya, sawah padi, padang permainan, sungai, laut atau pantai, Menara KL juga antara tempat yang wajar untuk kegiatan tersebut.

Meskipun Mesran kelihatan seperti terlambat, ulasan/saranan beliau menunjukkan program seperti Baca Puisi @ Menara KL ini perlu diteruskan kerana tetap membawa kebaikan, sementelah Ketua Pegawai Eksekutif Menara Kuala Lumpur, Ainol Shaharina Sahar sendiri menyatakan sokongan padu beliau terhadapnya. Jadi, jalan telah dibuka, dan tangan menyambut dihulurkan.

“Ia dapat menyemarakkan, dan memupuk semangat patriotik dalam diri kita sebagai rakyat Malaysia. Bagi saya, patriotisme ini perlu dijiwai dan bukan sekadar perlambangan atau djadikan tema semata-mata. Saya berharap program seperti ini dapat diadakan lebih kerap di Menara Kuala Lumpur pada masa akan datang,” kata Ainol.

Beliau turut mengucapkan jutaan terima kasih kepada Persatuan Penulis Nasional Malaysia (PENA) dan DBP sebagai penganjur bersama, serta Gabungan Persatuan Penulis Nasional Malaysia (GAPENA) atas kerjasama menjayakan Baca Puisi Kemerdekaan @ Menara KL.

Turut hadir ialah Pengerusi Lembaga Pengelola DBP, Prof Datuk Seri Dr Haji Awang Sariyan; Pengarah Jabatan Pembinaan Bahasa dan Sastera DBP, Fauzilahyatun Mustafa; Presiden PENA, Dr Mohamad Saleeh Rahamad, dan wakil GAPENA, Norazimah Abu Bakar.

Dr. Shamsuddin Othman antara yang mengambil bahagian.

Menariknya, Ainol turut dijemput mendeklamasikan puisi, dan beliau memilih sajak karya Sasterawan Negara ketiga, Allahyarham Datuk (Dr) Usman Awang, berjudul Jiwa Hamba.

Selain kenyataan Mesran itu, Baca Puisi Kemerdekaan @ Menara KL istimewa kerana menampilkan penerima Anugerah Penulis Asia Tenggara 2021, Dr Shamsuddin Othman; Tokoh Puisi Kebangsaan 2022 peringkat Kuala Lumpur, Pyanhabib; dan johan Sayembara Deklamasi Puisi Kebangsaan 1996, Ahmad Shukri Abdullah.

Dr Shamsuddin mendeklamasikan sajak berjudul Seberkas Catatan Tentang Merdeka, Pyanhabib dengan sajak-sajak Di Luar Seluar Luar, Pil Chi Kit Teck Aun, dan Demokrasi, sementara Shukri mendeklamasikan sajak Orang Berjuang, karya rakan baiknya, Zainal Rashid Ahmad.

Turut diundang ialah selebriti terkenal tanah air Dato’ Ahmad Tarmimi Siregar, dan Sani Sudin. Dato’ Ahmad mendeklamasikan sajak karya Roslan Madun, Di Mana Tuhan Ketika Kebohongan Dijeritkan. Beliau kemudian menyanyikan lagu klasik Broery Marantika (walaupun tidak relevan), Angin Malam atas permintaan hadirin.

Sani pula mendendangkan lagu klasik mengenai kemerdekaan tanah air ciptaan Allahyarham Kassim Masdor yang dipopularkan oleh Allahyarham Datuk Ahmad Jais dan Aishah, iaitu Bahtera Merdeka.

Sebelum itu, dalam ucapan beliau, Dr Saleeh mengucapkan terima kasih kepada JKKN kerana sentiasa menyokong kegiatan PENA selama ini.

Beliau turut menghargai perhatian dan sokongan Prof Datuk Seri Haji Awang dan DBP yang tanpa jemu-jemu, dan mengenal erti penat sentiasa menyokong PENA meskipun sibuk sebagai pentadbir. Prof Datuk Seri Haji Awang sendiri pasti lebih maklum dan memahami program baca puisi di DBP.

Saleeh yang juga penulis esei, kritikan dan sajak turut mendeklamasikan sajak beliau berjudul Harapan bersempena dengan kemerdekaan tanah air kita yang ke-65 tahun.

Haji Awang kemudian tampil di pentas mendeklamasikan sajak beliau, Tuntunlah Si Merdeka. Sementara Norazimah mendeklamasikan sajak karya Allahyarham Jihaty Abadi, Adalah Kota Adalah Cinta dengan penuh semangat.

Turut mendeklamasikan sajak termasuklah anak muda Mohd Shamier Mohd Shakir dari Melaka, serta Fairul Pujangga (PENA), Rusdi Abd Rahman (DBP), Marzelan Md Jusoh (Angkatan Tentera Malaysia), Letfee Ahmad (Persatuan Sutradara Filem Malaysia), dan Ladin Nuawi (seniman bebas).

Mohd Shamier mendeklamasikan sajak karya Amiruddin Ali berjudul Apakah Masih Gelintar? (Demi Kasihku untuk Anak Bangsa). Rusdi dengan sajak Merdeka Kali Ini, Fairul pula Kembara Merdeka, Marzelan dengan Taman Merdeka, karya Lin Haslinaz, dan Letfee pula Siapa Lebih Menyimpan Wasangka, Malaysiaku.

Baca juga Hari Sastera Nasional atau Hari Sastera Islam Kelantan?

Baca juga Guna sistem giliran untuk bantu urusan ibu bapa, wanita cuba elak bergaduh dengan adik beradik

[DTV] FIRST LADY DARI NERAKA



Source link

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *