Desas-desus mengenai Lee Zii Jia bakal meninggalkan BAM akhirnya terjawab selepas Persatuan Badminton Malaysia (BAM) mengesahkan dia sudah memohon untuk meninggalkan badan induk itu.
Presiden BAM, Tan Sri Mohamad Norza Zakaria berkata, pemain berusia 23 tahun dari Alor Setar, Kedah itu telahpun menghantar surat peletakan jawatan pada 11 Januari lalu meskipun sudah dipujuk untuk kekal.
Kosmo online melaporkan bekas juara kejohanan Seluruh England (All England) mendakwa tidak tahan dengan tekanan rejim latihan di Akademi Badminton Malaysia (ABM) Bukit Kiara antara sebab mahu meninggalkan BAM.
Pengumuman rasmi berhubung perkara itu akan dibuat BAM pada Jumaat ini menerusi jawatankuasa yang dipengerusikan Timbalan Presiden BAM, Datuk Seri Jahaberdeen Mohamed Yunoos.
Spekulasi berhubung masa depan Zii Jia bertiup kencang selepas ada pihak yang sanggup memberi tajaan bernilai RM4 juta bagi membiayai karier profesionalnya sebaik dia meninggalkan BAM. Kredit | Kosmo