KUALA TERENGGANU – Gara-gara tidak melayan permintaan anak yang mahukan duit, seorang lelaki warga emas cedera parah pada bahagian kepala dan ibu jari tangan kanan akibat dipukul anak lelakinya di Kampung Pengkalan Sentol, Jertih, Besut dekat sini semalam.
Dalam kejadian pada 7.30 pagi itu, mangsa berusia 71 tahun mendakwa dipukul dengan sebatang tongkat rotan oleh anak kandungnya yang disyaki penagih dadah.
Ketua Polis Daerah Besut, Superintendan Abdul Rozak Muhammad berkata, suspek berusia 50 tahun dikatakan telah mengamuk apabila bapanya enggan memberinya wang.
“Dia kemudiannya memukul bapanya menggunakan sebatang tongkat rotan yang mengenai bahagian bahagian kepala, mata belah kiri dan tangan belah kanan warga emas itu.
“Salah seorang anak perempuan mangsa yang terkejut melihat bapanya berlumuran darah menjerit telah meminta pertolongan jirannya,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Abdul Rozak berkata, lelaki warga emas itu telah dikejarkan ke Unit Kecemasan Hospital Besut sebelum dirujuk ke Hospital Sultanah Nur Zahirah di sini setelah jari kananya hampir putus.
Tambah beliau, anak lelaki mangsa telah diberkas pada pukul 12 tengah hari semalam dan ujian urin mendapati dia positif dadah jenis Methamphetamine.- KOSMO! ONLINE