Ebit bersama anak punk di Jakarta

Kongsikan Artikel ini

PETALING JAYA – Pendakwah bebas, Ustaz Ebit Lew berkongsi pengalamannya menyantuni anak-anak punk di Jakarta, Indonesia baru-baru ini.

Ebit dalam satu hantaran di Facebook berkata, beliau berasa sebak apabila berjumpa dengan dua orang anak punk yang penuh bertatu serta kelihatan ganas.

“Sebak sayu rasa jumpa dua orang anak punk ini di Jakarta. Tatu penuh sampai mata putih pun bertatu.

“Mula-mula tengok rasa terkejut. Nampak ganas di jalan,” katanya di sini hari ini.

Menurut Ebit, dia sempat berbual dengan golongan itu sebelum mengajak mereka balik ke rumah kebajikannya, rumah kasih umat di Jakarta.

“Terus ajak berbual-bual dan berkongsi nasihat. Tak sangka mereka menangis.

“Mereka hidup di bawah jambatan dan hidup merata. Kami bawa balik ke rumah kasih umat kami di Jakarta. Makan bersama. Kemudian ajak solat,” katanya.

Menurut Ebit, anak-anak punk itu turut mengaku bahawa kali terakhir mereka menunaikan solat ialah semasa masih kanak-kanak.

“Kami dah tidak solat langsung. Solat zohor bersama tadi. Katanya inilah solat pertama kami setelah sekian lama. Berbual rindu ibu bapa.

“Mereka cuma anak-anak yang baik. Bertambah keluarga kasih umat kami di Indonesia,” tambahnya.

Dalam pada itu Ebit memberitahu, golongan itu turut meluahkan perasaan rindu, kasih dan sayang pada Allah SWT.

“Insya-Allah mereka ingin bersama keluar tiga hari di jalan Allah SWT,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE


Sumber: Kosmo
Source link

Leave a Reply

Your email address will not be published.