EU benarkan penggunaan pil Paxlovid rawat COVID-19

EU benarkan penggunaan pil Paxlovid rawat COVID-19
Kongsikan Artikel ini

Pengawal selia ubat-ubatan bawah Kesatuan Eropah (EU) kini mula membenarkan negara anggotanya menggunakan pil Paxlovid Pfizer untuk merawat COVID-19 walaupun ubat terbabit belum diberikan kelulusan rasmi, seperti dilaporkan Berita Harian yang dipetik dari sumber AFP.

Ia sebagai langkah kecemasan untuk mengekang gelombang penularan pantas virus Omicron pada ketika ini. Sebelum ini, Pfizer memaklumkan bahawa pil Paxlovid keluarannya dapat mengurangkan hingga hampir 90 peratus kemasukan ke hospital dan kematian membabitkan golongan rentan.

“Ubat itu yang belum diluluskan di EU, boleh digunakan untuk merawat pesakit dewasa COVID-19 yang tidak memerlukan bantuan oksigen, dan golongan berisiko tinggi mengalami sakit teruk,” kata Agensi Ubat-ubatan Eropah (EMA) dalam satu kenyataan.

Menurut kenyataan itu lagi, EMA mengeluarkan nasihat terbabit bagi menyokong pihak berkuasa negara yang berkemungkinan mahu menggunakan ubat berkenaan lebih awal.

“Sebagai contoh, untuk kegunaan kecemasan berikutan peningkatan kadar jangkitan dan kematian akibat COVID-19 di seluruh EU,” katanya.

Sementara itu reaksi Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Pfizer, Albert Bourla, menyifatkan keputusan terbabit sebagai menunjukkan kekuatan data berhubung Paxlovid dalam rawatan pesakit dewasa COVID-19 yang berisiko tinggi.

“Jika penggunaannya dibenarkan, Paxlovid berpotensi membantu menyelamatkan nyawa dan mengurangkan kemasukan ke hospital,” katanya dalam satu kenyataan.

Pil berkenaan membabitkan gabungan molekul baharu, PF-07321332, dan ritonavir antiviral HIV, yang perlu diambil sebagai tablet berasingan.

Menurut EMA yang berpangkalan di Amsterdam, ubat itu harus diambil secepat mungkin selepas suatu diagnosis dan dalam tempoh lima hari bermulanya gejala, dengan rawatan terbabit mengambil masa selama lima hari.

Antara kesan sampingan yang berkemungkinan dialami ialah cirit-birit dan muntah. Walau bagaimanapun, wanita yang hamil tidak dibenarkan mengambil ubat berkenaan. – Kredit sepenuhnya laporan Berita Harian.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *