Fakta Jalur Gemilang

jalur gemilang
Kongsikan Artikel ini

Sempena bulan kemerdekaan ini, rata-rata premis dan tempat akan mengibarkan Jalur Gemilang sebagai kebanggaan dan semangat patriotisma kita setelah merdeka dari penjajahan kolonial British. Kita imbau sedikit fakta dan sejarah Jalur Gemilang yang mungkin belum kita ketahui tentang asal-usulnya, pereka dan maksud tersirat disebalik warna dan dan perlambangan yang digunakan.

1- Sejarah Jalur Gemilang

Permulaan asal Jalur Gemilang bermula apabila sekitar tahun 1949 lagi. Dengan persetujuan Majlis Raja-Raja sebuah jawatankuasa telah ditubukan bagi menimbang dan membuat perakuan berhubung dengan reka bentuk bendera bagi Persekutuan Tanah Melayu yang baharu.

Bagi tujuan itu, satu pertandingan telah diadakan bagi mereka bentuk bendera Persekutuan Tanah Melayu yang baharu. Pertandingan peringkat kebangsaan telah ini dianjurkan oleh Majlis Perundangan Persekutuan dan mendapat 373 penyertaan dari karyawan seluruh negara. Daripada sejumlah itu, tiga rekabentuk bendera baharu bagi Persekutuan Tanah Melayu telah dipilih untuk ke peringkat akhir.

Tiga cadangan akhir bendera Persekutuan Tanah Melayu
Tiga cadangan akhir bendera Persekutuan Tanah Melayu

Dengan persetujuan Majlis Perundangan Persekutuan melalui akhbar The Malay Mail, mengusulkan kepada orang ramai untuk memberikan pendapat atau undian kepada ketiga-tiga rekabentuk tersebut . Pada 29 November 1949 keputusan akhir pendapat umum yang dikelolakan itu menunjukkan majoriti telah memilih rekaan bendera ketiga ciptaan Mohamed bin Hamzah, seorang arkitek kerajaan dari Johor.

Reka bentuk ini menampilkan sebelas jalur biru-putih dengan bulan bintang berwarna putih di bahagian tepi kiri di dalam pepenjuru berwarna merah. Reka bentuk ini adalah gabungan antara bendera Johor dan bendera Kerajaan Majapahit.

Walau bagaimanapun, rekaan ini melalui beberapa peringkat pengubahsuaian terhadap bentuk bintang, warna jalurnya dan beberapa warna diraja diterapkan.

Pengubahsuaian dan reka bentuk terpinda, telah dibawa untu penelitian pada Mesyuarat Majlis Raja-Raja pada 22 dan 23 Februari 1950. Pada 19 April 1950, Majlis Perundangan Persekutuan telah meluluskan usul yang dibentangkan oleh Pemangku Ketua Setiausaha Negara seperti berikut:

“That in the opinion of this Council the Flag of the Federation of Malaya should be as follows:- Eleven horizontal stripes alternately red and white in colour, the uppermost stripe being red, having a blue quarter with a cresent and eleven pointed star in yellow superimposed, the standard size of the flag to be six feet by three feet.”

Jalaur Gemilang Asal
Bendera Persekutuan Tanah Melayu dari tahun 1950 hingga 1963 yang telah diluluskan untuk kegunaan.

Reka bentuk bendera terubah suai itu juga mendapat kelulusan Raja George VI pada 19 Mei 1950. Dengan itu, buat pertama kalinya bendera Persekutuan Tanah Melayu telah dikibarkan dalam satu majlis menaikkan bendera tersebut yang dianjurkan oleh Pesuruhjaya Tinggi British pada 26 Mei 1950 di perkarangan Istana Sultan Selangor dengan dihadiri oleh DYMM Raja-Raja Melayu dan Pegawai-pegawai Raja George VI.

2- Pereka Jalur Gemilang

Rekabentuk Jalur Gemilang
Jalur Gemilang Sumer: MKN

Ianya direka seorang Arkitek di Jabatan Kerja Raya (JKR) di Johor Bahru iaitu En. Mohamad bin Hamzah. Rekabentuk asalnya ialah mempunyai 11 jalur biru dan putih dengan bulan dan bintang berwarna kuning di bahagian tepi kiri.

Reka bentuk asal bnedera Persekutauan Tanah Melayu oleh En Mohamad Bin Hamzah
Sumber Wikipedia.org
Reka bentuk asal bnedera Persekutauan Tanah Melayu oleh En Mohamad Bin Hamzah

Rekabentuk asal ini telah melalui beberapa pindaaan dan pada akhirnya Duli-Duli Yang Maha Mulia Raja-Raja Melayu dan Tuan-Tuan Yang Terutama Gabenor-Gabenor telah memperkenankan rekabentuk Bendera Malaysia yang mengikut rekabentuk Bendera Persekutuan Tanah Melayu dengan pengubahsuaian pada bilangan jalur-jalur dan bintang pecah 14 bagi menunjukkan 14 buah negeri baru bagi Persekutuan Malaysia. Bendera Malaysia telah disahkan oleh King George VI pada 19 Mei 1950 dan pertama kali dikibarkan di depan Istana Selangor pada 26 Mei 1950.

Allahyarham Mohamed Hamzah meninggal dunia ketika berusia 75 tahun, pada 13 Februari 1993 di Jalan Stulang Baru, Kampung Melayu Majidee, Johor.

3- Makna Jalur Gemilang

Bendera Malaysia atau nama rasminya Jalur Gemilang mengandungi 14 jalur merah dan putih (melintang) yang sama lebar bermula dengan jalur merah yang melambangkan keberanian rakyat Malaysia yang tiada bandingnya terhadap negara ini.

Di sebelah atas bermula dari jalur putih kedua bersilang sehingga jalur putih yang terakhir melambangkan kesucian negara, tanda keanggotaan yang sama dalam persekutuan 13 buah negeri dan 1 Wilayah Persekutuan dan ianya menjadi simbol untuk 14 jalur pada Jalur Gemilang.

Bahagian segi empat (atau kanton) yang berwarna biru tua di atas sebelah kiri menegak dari atas hingga ke bawah jalur merah yang kelima itu melambangkan perpaduan rakyat Malaysia; kanton tersebut mengandungi anak bulan yang melambangkan agama Islam sebagai agama bagi Persekutuan (seperti yang telah tertakluk di dalam Perlembagaan Persekutuan Malaysia).

Bintang pecah 14 itu melambangkan perpaduan 13 buah negeri dan Kerajaan Persekutuan. Warna kuning pada anak bulan dan bintang melambangkan warna diraja bagi Duli-duli Yang Maha Mulia Baginda Raja-raja Melayu.

Empat warna ini yang melambangkan keberanian, kesucian, perpaduan rakyat Malaysia, dan kemuliaan Duli-duli Yang Maha Mulia Raja-raja sebagai Ketua Agama dan Ketua Negeri bagi seluruh negeri di Malaysia.

4. Reka bentuk piawai bagi Jalur Gemilang

Selama ini, terdapat berbagai-bagai cara Bendera Malaysia digantung secara menegak, sama ada dengan pengubahsuaian terhadap bendera, mahupun dengan menggantung bendera pada kepalanya dengan ekor bendera berada di bawah.

Memandangkan bahawa Bendera Malaysia mempunyai maksud yang dalam dan berkait rapat dengan institusi diraja serta agama Islam, sesetengah cara bendera tersebut digantung adalah kurang sesuai dari segi implikasinya. Oleh yang demikian, pada tahun 1990 kerajaan Malaysia telah menetapkan satu reka bentuk piawai bagi bendera versi banner atau pemidang. Reka bentuk tersebut telah ditetapkan melalui Surat Pekeliling Bil.1 Tahun 1990, dan adalah seperti berikut:

Kain rentang hendaklah membujur dari atas ke bawah dan mempunyai dua bahagian iaitu:

Bahagian Atas

Mengandungi bulan dan bintang berwarna kuning yang menghala ke atas berlatar belakangkan warna biru.

Bahagian Bawah

Mengandungi 14 jalur merah putih membujur dari atas ke bawah. Bentuk ekor di bawahnya adalah berukuran 1/8 daripada panjang banner

Warna yang digunakan hendaklah warna-warna yang sama dengan Jalur Gemilang iaitu merah, putih, biru dan kuning.

Ukuran biasa bagi kain rentang Jalur Gemilang ialah 12 kaki panjang dan 3 kaki lebar pada nisbah 4:1 (2X8).

5. Nama Jalur Gemilang

Nama Jalur Gemilang

Selama 47 tahun digelar Bendera Malaysia, pada kemerdekaan ke-40 pada 1997, namanya ditukar kepada Jalur Gemilang. Nama diusulkan pegawai dari Jabatan Muzium Negara dan Antikuiti, Redzuan Tamin dalam satu peraduan membabitkan pihak tertentu ini berjaya menewaskan 28 cadangan antaranya, Malaysia Raya, N.U.S.A, Mega Sakti, Saga Merah dan sebagainya.

Ilham untuk menamakan bendera Malaysia kepada Jalur Gemilang diusulkan Datuk Hashim Mat Dris. Cadangan berkenaan dikemukakan kepada Perdana Menteri ketika itu, Datuk Seri Dr Mahathir pada 11 Julai 1995. Pada 1 Julai 1996, urus setia menguruskan nama mengemukakan 75 cadangan berserta ulasan dan huraian.

Tiga nama telah disenarai pendek iaitu Setia Perkasa, Seri Setia Perkasa dan Seri Setia Negara. Tiga nama ini bagaimanapun ditolak oleh Jemaah Menteri ketika sebuah mesyuarat pada 11 September 1996. Namun 28 nama lagi dicadangkan dan pada 2 Jun 1997, tiga nama dicalonkan mengikut keutamaan iaitu Jalur Gemilang, Jalur Nusa Gemilang dan Jalur Sinar Gemilang.

Nama bendera Malaysia telah diisytiharkan oleh Tun Mahathir bin Mohamad, Perdana Menteri pada malam 31 Ogos 1997 sempena Hari Kemerdekaan negara yang ke-40. Pengisytiharan Jalur Gemilang dilakukan pada jam 11.58 di Dataran Merdeka, Kuala Lumpur.

Berikut adalah maksud terperinci nama Jalur Gemilang:

JALUR – menggambarkan Bendera Malaysia yang mempunyai 14 jalur merah dan putih. Oleh itu, lambang jalur pada Bendera Malaysia menggambarkan satu haluan yang lurus, hala tuju yang sama dan arah yang sama yang dianuti oleh rakyat negara ini dari Perlis hingga ke Sabah dalam menuju kegemilangan bangsa dan negara.

GEMILANG – bermaksud bercahaya, terang-benderang dan cemerlang. Oleh yang demikian Bendera Malaysia Jalur Gemilang memberi pengertian bahawa jalur atau bendera itu melambangkan kecemerlangan negara Malaysia dan rakyat Malaysia dalam mengharungi apa bidang kehidupan sekali pun sama ada di dalam atau di luar negara. Kesungguhan, kegigihan dan kesanggupan rakyat untuk menaikkan imej negara, sesungguhnya sentiasa mendapat petunjuk dan pedoman yang terang lagi jelas.

Sumber: Wikipedia, MKN

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *