Fatwa itu tidak bercanggah dengan konsep Bangsa Johor – Sultan Ibrahim

Kongsikan Artikel ini


Sultan Ibrahim Sultan Iskandar - GAMBAR FAIL

Sultan Ibrahim Sultan Iskandar – GAMBAR FAIL

JOHOR BAHRU – Sultan Johor bertitah fatwa Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAINJ) berhubung garis panduan umat Islam menghadiri perayaan bukan Islam tidak bercanggah dengan konsep Bangsa Johor.

Sultan Ibrahim Sultan Iskandar bertitah, fatwa yang diumumkan pada Khamis itu langsung tidak menjejaskan konsep Bangsa Johor yang mengamalkan toleransi, persefahaman dan perpaduan.

“Fatwa itu hanya melarang orang Islam daripada terlibat atau menyertai mana-mana upacara bukan Islam.

“Ini adalah garis panduan kepada umat Islam, mereka masih boleh menghadiri majlis dan perayaan agama lain.

“Agama lain juga mesti menghormati sensitiviti umat Islam. Ini adalah amalan dua hala. Kita mesti peka dengan perintah dan larangan setiap agama untuk hidup bersama,” katanya kepada Royal Press Office (RPO), pada Jumaat.

Sultan Ibrahim menjelaskan bahawa semua agama menekankan nilai-nilai murni seperti belas kasihan, hormat-menghormati, toleransi, kesederhanaan dan kebaikan dan rakyat Malaysia harus menumpukan kepada nilai kebersamaan dan bukannya perbezaan kaum atau agama.

“Saya harap dengan penjelasan ini dapat menghentikan sebarang kekeliruan mengenai fatwa baharu ini kerana ia hanya menjelaskan perkara yang diharuskan kepada umat Islam dan dilarang dalam Islam,” katanya.

Pada Khamis, Exco Hal Ehwal Agama Islam Negeri Johor, Mohd Fared Mohd Khalid mengumumkan fatwa baharu itu yang akan dilaksanakan mulai minggu depan.

Menurut Mohd Fared, berdasarkan fatwa itu, masyarakat Islam akan dibenarkan memenuhi undangan perayaan bukan Islam tetapi tidak terlibat dalam sebarang upacara keagamaan atau amalan ritual.

Beliau berkata orang Islam yang melanggar garis panduan itu boleh dikenakan tindakan mengikut Seksyen 9 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Negeri Johor 1997.

Menurutnya, garis panduan itu adalah perkara, perbuatan atau perkataan yang bertentangan dengan akidah dan syariat Islam serta menyentuh sensitiviti masyarakat Islam.

“Antara contohnya meletakkan tanda agama di dahi atau bahagian badan yang lain, memuji agama bukan Islam, memakai pakaian Santa Claus, bergaul tanpa batasan, berpakaian mencolok dan membuat ucapan yang menghina agama Islam,” jelasnya. .


Sumber dipetik:
sinardaily[dot]my

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *