Gempa Bumi: Malaysia Hantar Pasukan SMART, Anjing Pengesan Unit K9 Bagi Misi SAR Di Turkiye

Kongsikan Artikel ini


Semalam (6 Februari) dunia digemparkan dengan kejadian gempa bumi yang melanda di Turkiye dan Syria berukuran 7.8 skala Richter pada jam 4.00 pagi (waktu Turkiye) dengan kedalaman lebih kurang 17.9 kilometer (km).

Menurut laporan CNN, lebih kurang 3,830 individu telah menjadi korban dalam kejadian gempa bumi yang berlaku di bandar Gaziantep, Turkiye yang juga terletak sekitar 40km dari sempadan Syria.

2 ekor anjing Unit K9 dihantar ke Turkiye hari ini

Susulan dari kejadian tersebut, Malaysia telah bertindak untuk menghantar Pasukan Mencari dan Menyelamat Khas Malaysia (SMART) pada malam tadi (6 Februari).

Selain pasukan SMART, Malaysia akan menghantar dua ekor anjing terlatih dari Unit K9 Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) ke Turkiye pada hari ini (7 Februari).

Dua haiwan itu dihantar adalah bertujuan untuk membantu misi menyelamat mangsa yang terlibat dalam kejadian gempa bumi tersebut.

Pasukan SMART telah berlepas ke Turkiye malam tadi

Menurut Komander Pasukan Smart, Penguasa Kanan Bomba, Mohd. Khairul Jamil, sebanyak empat ekor anjing mungkin akan terlibat dalam misi menyelamat di Turkiye.

“Daripada segi tugas, kami lebih memberi fokus kepada operasi mencari dan menyelamat (SAR) dengan peralatan yang dibawa lebih menjurus kepada misi jenis sedemikian.

“Setakat ini, pihak SMART akan mendengar taklimat sejurus tiba di Gazientep iaitu lokasi paling hampir dengan pusat gegeran bencana tersebut,” jelasnya yang dipetik dari Kosmo.

70 orang anggota SMART dah berlepas ke Istanbul

Menurut Harian Metro, sebanyak 70 anggota SMART termasuk dari Kesihatan Diraja (KDD), Unit K9 JBPM, serta pasukan khas bahan kimia berbahaya (Hazmat) telah berlepas ke Istanbul dengan menaiki penerbangan Turkish Airlines.

Kata Khairul, pasukan itu telah mempunyai pengalaman sebanyak 12 SAR termasuk dalam insiden gempa bumi yang melanda Izmit, Turkiye pada tahun 1999 dan turut menerima pengiktirafan dari Kumpulan Penasihat Mencari dan Menyelamat Antarabangsa (INSARAG) pada 2016 yang membolehkan mereka dihantar bagi menyertai bantuan bencana di luar negara.

JAKIM adakan solat hajat memohon doa kesejahteraan kepada mangsa gempa bumi

Sementara itu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar turut menzahirkan takziah dan mengutus doa kepada kerajaan dan seluruh rakyat Turkiye dan Syria yang terlibat dalam tragedi terbabit.

Berikutan dari kejadian tersebut masjid di bawah keseliaan Jabatan Kemajuan Islam (JAKIM) akan mengadakan solat hajat dan doa memohon kesejahteraan pada 7 Februari selepas solat maghrib.

Antara masjid yang terlibat adalah Masjid Negara, Masjid Putra dan Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin, Putrajaya. Seluruh masjid dan surau di Wilayah-Wilayah Persekutuan di bawah seliaan Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) diminta turut melaksanakan solat hajat dan memohon doa kesejahteraan.

“Menjunjung titah Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, untuk tujuan mendoakan kesejahteraan buat negara Turkiye dan Syria.

“Semoga Allah mempermudahkan segala urusan dan operasi menyelamatkan mangsa. Marilah kita berdoa agar kesemua mangsa bersama ahli keluarga diberikan kesabaran,” katanya.




Sumber dipetik:
Source link

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *