KOTA BHARU: Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) bersedia meletakkan golongan muda yang bukan dari parti politik untuk diangkat sebagai calon pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
Timbalan Presiden Pejuang, Datuk Marzuki Yahya berkata, berkemungkinan besar calon muda yang bakal diberikan peluang terdiri daripada pemimpin badan bukan kerajaan (NGO) Melayu.
Menurutnya, pendekatan itu merupakan salah satu usaha menarik sokongan anak muda untuk sama-sama memajukan negara kerana kumpulan ini bakal menjadi pewaris negara pada masa hadapan.
“Tidak guna letak calon ‘berseban tinggi’ tetapi amalannya tidak bagus. Kita mahu lihat calon yang bertanding mempunyai ketrampilan diri yang baik dan bersih dari rasuah di samping mempunyai idea lebih segar dan baharu berbanding mereka pernah menyertai politik sebelum ini.
“Sokongan anak muda sangat diperlukan bagi membawa angin perubahan dalam senario politik tanah air. Senario politik sebelum ini mempunyai banyak kepincangan dan kerosakan akibat hasil kerja yang kurang baik sekaligus menyebabkan masa depan negara terbantut berbanding negara lain,” katanya kepada pemberita pada sidang akhbar selepas majlis Ramah Mesra Jentera Pejuang Tanah Air Parlimen Kubang Kerian di Tapak Pasar Lama Kubang Kerian, di sini semalam.
Marzuki memberitahu, Pejuang memerlukan calon yang mempunyai semangat berlawanan yang tinggi dan membawa suara anak muda dalam pentadbiran baharu kerajaan.
Katanya, usaha itu tidak terikat dengan politik, tetapi kita lebih terbuka kepada seluruh rakyat.
“Pejuang sedia menerima orang Melayu yang inginkan berjuang untuk bangsa bagi melawan kumpulan yang merosakkan negara dengan pelbagai isu termasuk rasuah,” ujarnya.
Dalam perkembangan lain, Marzuki berkata, sehingga kini berdasarkan demografi, pihaknya menyasarkan 14 kerusi parlimen di Kelantan dan 45 kerusi di Dewan Undangan Negeri (DUN) pada PRU15 nanti.
“Pada asasnya kita sebagai sebuah gerakan orang Melayu dan kita tahu bahawa kesemuan kerusi-kerusi yang ada di Kelantan ini samada di DUN mahupun parlimen ia adalah kerusi yang didominasikan oleh Melayu.
“Kemungkinan besar di Kelantan ini kita akan meletakkan kesemua calon kita di semua kerusi di bawah Pejuang,” katanya. – UTUSAN