SEREMBAN: Negeri Sembilan FC mengukuhkan kedudukan dalam kelompok tiga teratas Liga Super apabila menewaskan Sarawak United 3-2, sebentar tadi.
Beraksi di atas permukaan padang yang basah di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi di sini, tuan rumah dilihat lebih banyak menguasai perlawanan.
Beberapa peluang awal diperoleh terutama menerusi percubaan berturut-turut pemain pertahanan, Che Rashid Che Omar namun tersasar dan gagal menewaskan, Tauffiq Ar Rasyid Johar di gawang pelawat.
Asakan demi asakan, Negeri Sembilan akhirnya mendahului menerusi gol pertama pada minit ke-16 hasil sentuhan penyerang import, Gustavo Almeida Dos Santos.

Jaringan terhasil menerusi sepakan penjuru diambil Che Rashid yang gagal dikeluarkan pertahanan Sarawak dan bola kemudian singgah di kaki Gustavo Almeida seterusnya merembat terus ke gawang lawan.
Bagaimanapun, menerusi satu sepakan penjuru juga, pelawat berjaya menyamakan kedudukan pada minit ke-29 hasil tandukan Raja Imran Shah Raja Amin.
Gol tersebut secara tiba-tiba meningkatkan semangat Sarawak yang kemudian mencipta beberapa peluang untuk mendahului, namun mereka gagal menewaskan penjaga gol tuan rumah, Ahmad Syihan Hazmi Mohamed .
Memasuki separuh masa kedua, Negeri Sembilan terus melancarkan serangan dan hasilnya berjaya memperoleh gol kedua pada minit ke-66.

Ia sekali lagi menerusi Gustavo Almeida yang menyudahkan gerakan satu dua dengan seorang lagi penyerang import dari Brazil, Matheus Alves Leandro.
Pada minit ke-79, Matheus Alves melakukan tendangan akrobatik untuk meledak gol ketiga tuan rumah yang berpunca dari sepakan sudut Mohd. Zaquan Adha Abd. Radzak.
Lima minit sebelum tamat permainan, Negeri Sembilan cemas apabila Sarawak merapatkan jurang 3-2 menerusi rembatan Nur Shazmie Iszuan Amin pada minit ke-85 selepas Ahmad Syihan gagal menangkap kemas bola sepakan penjuru lawan.
Begitupun kedudukan 3-2 kekal hingga tamat permainan, sekali gus membolehkan Negeri Sembilan kekal di tangga ketiga dengan mengutip 35 mata menerusi 18 perlawanan. Sarawak yang meraih14 mata di kedudukan kedua tercorot. – UTUSAN ONLINE