KUALA LUMPUR: Johor Darul Ta’zim (JDT) menepati status sebagai kelab bola sepak terbaik Malaysia apabila menjulang Piala FA edisi ke-31 dengan menundukkan Terengganu FC 3-1 di Stadium Nasional Bukit Jalil, sebentar tadi.
Ini adalah trofi ketiga dibawa pulang Harimau Selatan selepas kali pertama dilakukan pasukan Johor pada 1998 disusuli JDT pada 2016.
Turun sebagai pilihan utama, JDT memberi amaran awal pada minit ke-12 namun percubaan kencang Arif Aiman Hanapi sekadar menggegar tiang gol sebelah kiri yang dikawal penjaga gol Terengganu Rahadiazli Rahalim.
Begitupun, Penyu tidak berdiam diri apabila penyerang import Ivory Coast, Tchetche Kipre hampir membuka jaringan di minit ke-25 tetapi dinafikan oleh kepantasan penjaga gol JDT, Farizal Marlias dalam situasi satu lawan satu.
Usaha JDT mencari gol pendahuluan akhirnya berhasil pada minit ke-34 menerusi rembatan kencang Arif Aiman, sekali gus menggamatkan stadium dengan sorakan penyokong Harimau Selatan.

Tersentak dengan jaringan itu, Terengganu cuba merencana beberapa peluang untuk mencari gol penyamaan tetapi gagal menembusi bentang kental JDT yang diketuai Farizal.
Bersambung babak kedua, kedua-dua pasukan terus meningkat intensiti permainan dengan mengajikan aksi berbalas serangan bagi menghiburkan lebih 84,321 penyokong yang memenuhi segenap tempat duduk stadium.
Begitupun JDT berjaya menggandakan jaringan, kali ini menerusi sepakan penalti yang disempurnakan penyerang dari Brazil Bergson da Silva pada minit ke-62.

Terdahulu, skuad Harimau Selatan dihadiahkan sepakan penalti oleh pengadil perlawanan Muhammad Nazmi Nasaruddin selepas tindakan Rahadiazli mengasari Bergson dalam kotak penalti.
Jentera serangan JDT nyata lebih ‘mengganas’ apabila terus melancar serangan bertali arus ke atas benteng Terengganu.
Bagaimanapun, anak buah Nafuzi Zain kembali menghidupkan peluang apabila kapten Terengganu Tchetche merapatkan kedudukan pada minit ke-75 selepas rembatannya terkena Farizal sebelum bola menuju ke jaring.

Tidak sampai dua minit, JDT kembali menjarakkan kedudukan gol apabila Bergson sekali lagi menemui sentuhan penyudah apabila bijak memanfaatkan umpanan pemain gantian Mohamadou Sumareh.
Kemenangan itu sekali gus memberi trofi pertama buat Hector Bidoglio sebagai pengendali Harimau Selatan yang menggantikan Benjamin Mora 27 Julai lalu.
Dalam pada itu, Terengganu gagal menamatkan kemarau 11 tahun sejak kali terakhir menang pada 2011 menewaskan Kelantan 2-1.