Kabinet elak pembaziran, fokus kurangkan beban rakyat – PM Anwar

Kongsikan Artikel ini

Anwar hari ini mengumumkan pelantikan dua timbalan perdana menteri, bersama 28 anggota kabinet untuk kerajaan perpaduannya.  - Foto Bernama

Anwar hari ini mengumumkan pelantikan dua timbalan perdana menteri, bersama 28 anggota kabinet untuk kerajaan perpaduannya. – Foto Bernama

PUTRAJAYA – Menteri yang merupakan sebahagian daripada kabinet Kerajaan Perpaduan perlu mengelak pembaziran dan sebaliknya fokus melaksanakan inisiatif yang boleh meringankan beban rakyat, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Semasa sidang media mengumumkan Kabinetnya hari ini, Anwar berkata anggota kabinet mesti mengutamakan tadbir urus yang baik ketika menjalankan tugas.

“Fokus utama kami adalah untuk memacu ekonomi,” katanya ketika mengulas sama ada terdapat Petunjuk Prestasi Utama (KPI) tertentu ditetapkan kepada menteri.

Katanya, beliau akan mengadakan mesyuarat khas dengan anggota kabinet bagi membincangkan peraturan dan hala tuju setiap kementerian.

“Kaedah baharu (akan) diperkenalkan untuk memusatkan usaha menjalankan kerja dan mengelakkan sebarang was-was terhadap kemungkinan pembaziran, rasuah dan salah guna kuasa,” tambahnya.

Perdana menteri juga berkata senarai timbalan menteri akan diumumkan tidak lama lagi.

Dalam langkah yang tidak pernah berlaku sebelum ini, Anwar hari ini mengumumkan pelantikan dua timbalan perdana menteri, bersama-sama dengan 28 anggota kabinet untuk Kerajaan Perpaduannya.

Pengerusi Barisan Nasional (BN) Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan naib presiden kanan Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Datuk Seri Fadillah Yusof, yang mewakili Gabungan Parti Sarawak (GPS), kedua-duanya dilantik sebagai timbalan perdana menteri.

Anwar, 75, juga akan memegang portfolio Menteri Kewangan.

Anwar mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri Malaysia ke-10 di hadapan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah pada 24 Nov. – BERNAMA

sinardaily[dot]my

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *