Kajian Membuktikan Cahaya Matahari Mampu Membakar Lemak Dalam Tubuh Dan Turunkan Berat Badan

Penulis Amerika Syarikat, Henry Ward Beecher pernah bermadah, matahari tidak bersinar untuk sesetengah pokok dan bunga tetapi untuk seluruh dunia menikmatinya.

Kajian Membuktikan Cahaya Matahari Mampu Membakar Lemak Tubuh Dan Menurunkan Berat Badan

Umum sudah maklum, betapa pentingnya peranan cahaya matahari untuk membantu proses fotosintesis tumbuh-tumbuhan hijau dan bunga-bungaan berkembang mekar.

Lentera alam itu juga membuatkan dunia ini terang-benderang.

Sejak di bangku sekolah, buku-buku teks sains telah mengajar kita tentang manfaat sang suria terhadap kesihatan tubuh badan.

Cahaya matahari menjadi sumber vitamin D yang boleh meningkatkan keupayaan memori dan mencegah nyanyuk atau dementia.

Cahaya mentari juga berupaya membangkitkan mood gembira kerana ia merangsang paras hormon serotonin dalam badan.

Mungkin itu sebabnya apabila anda bersiar-siar di luar rumah walau hanya lima minit pada waktu pagi, tiba-tiba mood bertukar bahagia.

Tapi bukan itu sahaja, kajian terbaharu yang dilakukan oleh pengkaji dari Universiti Alberta di Edmonton, Kanada mungkin menggembirakan ramai.

Seperti matahari yang bersinar, ia mungkin membuat anda tersenyum seindah suria.

Masalah obesiti atau isu berat badan sering menghantui ramai orang.

Jika azam anda tahun ini untuk menurunkan berat badan, mungkin kajian yang diistilahkan sebagai penemuan besar oleh saintis ini boleh dipertimbangkan sebagai salah satu ikhtiar.

Kajian yang disiarkan oleh jurnal Scientific Reports itu mendapati matahari mampu membakar lemak dalam badan.

Pengkaji-pengkaji menemui pada lapisan atas kulit terdapat lemak yang dinamakan sel lemak putih dan sel lemak itu boleh mengecut dengan pancaran matahari.

Ketua pengkaji, Peter Light yang juga merupakan Pengarah Institut Diabetes Alberta berkata, lemak yang dimaksudkan itu merupakan lemak jahat kerana ia bertindak menyimpan kalori.

Light mendakwa sel lemak putih itu merupakan depot lemak utama dalam tubuh manusia dan berperanan sebagai pusat penyelarasan metabolisme badan.

“Apabila cahaya matahari masuk ke dalam kulit dan mencapai sel ini, saiznya akan berkurangan.

“Dalam erti kata lain, sel kita tidak menyimpan lemak yang banyak,” katanya.

Kajian itu turut merungkai misteri mengapa musim sejuk sering mengundang masalah kegemukan.

Light bagaimanapun berkata, masih banyak kajian lanjutan perlu dilakukan sebelum dapat mengesahkan berjemur lama di panas mentari sebagai cara hebat untuk membuang lemak.

Kajian itu dilihat membuka ruang kepada strategi baharu pengurangan berat badan menggunakan terapi cahaya matahari.

Sebenarnya pada tahun 2014 telah ada satu kajian lain di Chicago, Amerika Syarikat yang menunjukkan bahawa mereka yang terdedah kepada sinar mentari awal pagi didapati mempunyai indeks jisim tubuh (BMI) yang lebih rendah berbanding yang lebih lewat terdedah kepada matahari.

Pakar perubatan dan Ahli Jawatankuasa Pusat Pertubuhan Doktor Islam Malaysia, Dr. Zubaidi Ahmad berpandangan, dapatan kajian terbaharu dari Kanada itu berkebarangkalian ada kebenarannya namun ia mungkin melibatkan pembakaran amaun lemak yang sedikit.

“Kajian ini kemungkinan ada benarnya seperti kepanasan sauna boleh mengeluarkan hormon yang menggalakkan pembakaran lemak.

“Bagaimanapun, pada hemat saya, untuk menurunkan berat badan yang paling penting tetap menjaga pemakanan yang meliputi 80 peratus dan aktiviti fizikal (20 peratus).

Pemakanan

“Tidak guna berjemur pada panas matahari untuk kurus tapi pemakanan tidak dijaga dan malas bersenam.

“Namun kena diingatkan, sinar matahari yang baik pun ada waktunya iaitu sebelum pukul 9 pagi.

“Cahaya matahari selepas itu sehingga ke petang mungkin terlalu terik dan berbahaya.

“Dalam keadaan lapisan ozon yang kian menipis, pendedahan yang berlebihan kepada cahaya matahari yang mengandungi sinaran ultraungu boleh memberi kemudaratan seperti kanser kulit.” katanya.

Bukti-bukti saintifik ini mungkin menjawab mengapa umat Islam sering diingatkan waktu pagi itu punca rezeki dan tidur selepas subuh suatu yang amat tidak diperlukan.

Ternyata matahari mempunyai banyak manfaatnya.

Mungkin kerana itu, Allah juga dalam al-Quran bersumpah dengan matahari, iaitu dalam surah Asy-Syamsu yang bermaksud matahari.

Semoga selepas mengetahui mengenai kajian ini penderita-penderita masalah berat badan yang selama ini liat bangun pagi akan hidup berpagi-pagian untuk mendampingi suria pagi.

Siapa tahu, mataharilah antara ‘kunci’ solusi anda.

Semoga memberi manfaat.

Leave a Comment