Kekalahan Nurul Izzah menamatkan legasi Anwar Ibrahim di Permatang Pauh

Kongsikan Artikel ini


PERMATANG PAUH – Legasi Datuk Seri Anwar Ibrahim di Permatang Pauh berakhir apabila anak perempuannya, Nurul Izzah Anwar kalah dalam perjuangan mempertahankan kerusi itu pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Mewakili Pakatan Harapan (PH) Nurul Izzah dikalahkan oleh calon Perikatan Nasional (PN) Muhammad Fawwaz Mat Jan (PN-PAS) dengan majoriti 5,272 undi.

Muhammad Fawwaz, yang juga Ketua Pemuda PAS Pulau Pinang ketika ditemui di pusat penjumlahan bagi Permatang Pauh melahirkan rasa syukur dan berharap beliau dapat menunaikan janjinya kepada penduduk Permatang Pauh dalam tempoh lima tahun akan datang.

“Saya ingin memohon maaf jika ada salah silap sepanjang berkempen dan saya berhasrat untuk menyatukan Permatang Pauh. Kita semua adik beradik,” katanya kepada pemberita di Institut Kemahiran Maju Belia Negara (IKTBN) Bukit Mertajam sambil diiringi oleh Pesuruhjaya PAS Pulau Pinang Ustaz Muhammad Fauzi Yusoff di sini pagi ini.

Anwar pertama kali memenangi kerusi itu pada pilihan raya umum keenam pada April 1982 atas tiket Barisan Nasional (BN) apabila menewaskan Zabidi Ali daripada PAS dengan majoriti 14,352 undi.

Anwar yang dilahirkan di Cherok Tok Kun, Bukit Mertajam, Pulau Pinang mengekalkan kerusi itu sehingga dipenjarakan pada 14 April 1999.

Isterinya, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail memenangi kerusi itu pada PRU10 pada Nov 1999.

Selepas dibebaskan dari penjara pada 2 Sept 2004, Anwar telah dilarang daripada menyertai politik selama lima tahun.

Dr Wan Azizah terus mengekalkan kerusi itu dan pada 31 Julai 2008, beliau mengosongkannya untuk memberi laluan kepada Anwar bertanding dalam pilihan raya kecil pada Ogos 2008, yang mana yang kedua menang dengan majoriti 15,671 undi menewaskan calon BN Datuk Arif Shah Omar Shah.

Pada PRU13, Anwar menewaskan pencabar Mazlan Ismail (BN) dan Abdullah Zawawi Samsudin (bebas) untuk mengekalkan kerusi Permatang Pauh dengan majoriti 11,721 undi.

Bagaimanapun, Anwar dijatuhi hukuman penjara lima tahun selepas didapati bersalah meliwat pembantunya Mohd Saiful Bukhari Azlan, dan sabitan itu dikekalkan oleh Mahkamah Persekutuan pada 10 Feb 2015.

Kelayakan beliau sebagai Ahli Parlimen Permatang Pauh telah dilucutkan dan Anwar telah hilang kelayakan sebagai wakil rakyat selepas Lembaga Pengampunan menolak permohonannya untuk mendapatkan pengampunan diraja.

Pada pilihan raya kecil yang diadakan pada Mei 2015, Wan Azizah berjaya mengekalkan kerusi itu, menewaskan pencabarnya Suhaimi Sabudin (BN-UMNO) dengan majoriti 8,841 undi.

Pada PRU14, Nurul Izzah yang merupakan penyandang Ahli Parlimen Lembah Pantai memenangi kerusi Permatang Pauh menewaskan Datuk Mohd Zaidi Mohd Said (BN-UMNO) dengan majoriti 15,668 undi. – BERNAMA



sinardaily[dot]my

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *