Kemalangan Van Genting Highlands
KUALA LUMPUR – Seorang lagi mangsa kemalangan tragis di Genting Highlands yang melibatkan sebuah van yang terbabas dan merempuh pembahagi di KM4.8 Jalan Genting Highlands dekat Bentong, Pahang, Rabu lepas meninggal dunia hari ini, menjadikan jumlah korban setakat ini seramai lapan orang. .
Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf berkata, mangsa kelapan dikenali sebagai Chew Chong Beh, 73, yang sedang menerima rawatan di Hospital Kuala Lumpur (HKL) tetapi meninggal dunia pada 1.46 petang hari ini.
Beliau berkata daripada enam lagi mangsa yang cedera, empat masih menerima rawatan di HKL, seorang di Hospital Temerloh dan seorang lagi sudah dibenarkan keluar.
“Sehingga jam 6 petang ini, seramai lapan mangsa disahkan meninggal dunia dan Polis Kontinjen Pahang mengucapkan takziah kepada semua keluarga mangsa yang terlibat dalam kemalangan itu,” katanya dalam satu kenyataan malam ini.
Kemalangan berlaku kira-kira jam 1.15 tengah hari ketika van yang membawa 14 orang itu dalam perjalanan turun dari Genting Highlands sebelum hilang kawalan, terbabas dan melanggar pembahagi jalan. – BERNAMA
Sumber dipetik:
sinardaily[dot]my