KUALA LUMPUR – Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) mengeluarkan notis bersiap sedia menghadapi kemungkinan banjir kilat dalam tempoh 12 jam di beberapa daerah di Johor, Pahang dan Sarawak jika hujan lebat atau ribut petir yang ketara berlaku.
Ia berkata dalam satu kenyataan hari ini, notis itu dikeluarkan berdasarkan ramalan hujan Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia), Sistem Panduan Banjir Kilat Asia Tenggara (SAOFFGS) dan model ramalan banjir JPS.
Di Johor kawasan yang berisiko terjejas ialah mukim Plentong di Johor Bahru; mukim Tanjung Surat, Kota Tinggi, Ulu Sungai Johor, Sedili Kechil, Ulu Sungai Sedili Besar, Mukim Sedili Besar (daerah Kota Tinggi) dan mukim Triang di Mersing.
Di Pahang, kawasan yang dijangka dilanda adalah mukim Pontian dan Rompin di daerah Rompin, manakala di Sarawak satu bahagian berisiko terjejas ialah Kuching melibatkan Jalan Laksamana Cheng Ho, Taman Bong Chin, Sekolah Kebangsaan (SK) Batu Lintang, Lrg Kapor 10, Ulu Maong, Happy Valley, Taman Evergreen, Jalan Burung Durian, Jalan Batu Kawa, Desa Wira, Kampung Gita, Hospital Besar Sarawak, Jalan Batu Lintang, RPR Batu Kawa dan kawasan sekitarnya.
Manakala di bahagian Samarahan pula, kawasan yang dijangka akan dilanda ialah Kampung Mang, Taman Residen, SK Muara Tuang, Kampung Tanjung Bundong, Taman Uni Garden, SK Muara Tuang, Muara Tuang III, Kampung Empila, Kampung Tanjung Parang, Kampung Bangka Semong , Kampung Nuip dan kawasan sekitarnya.
“Notis kesiapsiagaan ini dikeluarkan bagi membolehkan semua penduduk khususnya di kawasan berisiko berwaspada sekiranya berlaku banjir kilat dalam tempoh tersebut. Sila patuhi arahan yang dikeluarkan pihak berkuasa,” baca kenyataan itu.
Orang ramai boleh melayari laman web https://publicinfobanjir.water.gov.my, Facebook @PublicInfoBanjir dan Twitter @JPS_InfoBanjir untuk maklumat lanjut – BERNAMA
Sumber dipetik:
sinardaily[dot]my