Kerja-kerja pembaikan di Laluan LRT Ampang akan disiapkan dalam masa dua minggu – Loke

Kongsikan Artikel ini


Menteri Pengangkutan Anthony Loke Siew Fook.- BERNAMA PIX

Menteri Pengangkutan Anthony Loke Siew Fook.- BERNAMA PIX

PELABUHAN KLANG – Fasa pertama kerja pembaikan kerosakan struktur landasan perkhidmatan Transit Aliran Ringan (LRT) membabitkan Laluan Ampang berhampiran stesen Bandaraya dijangka siap dalam masa dua minggu, kata Menteri Pengangkutan Anthony Loke Siew Fook.

Beliau berkata kerosakan itu akan dibaiki oleh Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana) bersama perunding yang dilantik.

“Proses pembaikan akan melibatkan dua fasa, dengan fasa pendek mengambil masa dua minggu untuk memastikan struktur selamat digunakan. Fasa panjang adalah untuk memastikan struktur itu stabil,” katanya selepas merasmikan gudang baharu Infinity Logistics & Transport Sdn Bhd disini hari ini.

Loke berkata, kerosakan itu menjejaskan Stesen Bandaraya dan Stesen Masjid Jamek, yang akan dibuka hanya jika trek didapati selamat untuk digunakan.

“Kami tiada pilihan lain kerana ini adalah isu keselamatan. Jadi saya memohon maaf kepada penumpang. Saya akan memantau perkembangan kerja pembaikan itu,” tambahnya.

Dilaporkan perkhidmatan LRT laluan Ampang-Sri Petaling tergendala pada 27 Jan lepas atas faktor keselamatan selepas jajaran landasan didapati bengkok berhampiran Stesen LRT Bandaraya.

Rapid Rail dalam catatan Facebook berkata semakan awal mendapati kelewatan perkhidmatan LRT itu berpunca daripada kerosakan struktur jejambat yang membawa landasan kereta api itu akibat kerja pembinaan bersebelahan dengan kawasan itu.

Sementara itu, Loke berkata kementerian menyokong penuh konsep laluan khas atau ‘blue lane’ untuk penunggang motosikal bagi mengurangkan kemalangan dan kematian membabitkan pengguna jalan raya.

Bagaimanapun katanya, ia akan melibatkan pelaburan yang besar terutama jika dilaksanakan di lebuh raya dan jalan negeri.

Loke menjawab laporan pakar keselamatan jalan raya yang mengesyorkan lorong khas untuk penunggang motosikal bagi mengurangkan jumlah kemalangan jalan raya dan kematian. – BERNAMA


Sumber dipetik:
sinardaily[dot]my

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *