KL City terikat 0-0, tuah buat Melaka United

Kongsikan Artikel ini

MELAKA – Faktor keletihan menjadi punca juara Piala Malaysia musim lalu, KL City hanya mampu mencatat keputusan seri 0-0 berdepan Melaka United (MU), walaupun menguasai sepenuhnya babak perlawanan di Stadium Hang Jebat di sini, malam tadi.

Jurulatihnya, Bojan Hodak berkata, pemain mengharungi empat perlawanan di tempat lawan terutama ketika menang dengan kelab ATK Mohun Bagan 3-1 pada separuh akhir antara zon di Stadium Vivekananda Yuba Bharati Krirangan, Kolkata, India 7 September lalu.

Menurutnya, sebelum ke India, mereka berdepan Sabah di Kota Kinabalu terikat 2-2 manakala tiga hari selepas pulang daripada Piala AFC, pasukannya berdepan pula Sri Pahang FC di Kuantan, namun masih mampu mencatat kemenangan 2-0.

Beliau berkata, faktor itu menyebabkan aksi kesebelasan utamanya pada babak pertama berdepan Skuad Sang Kancil tampak tidak bertenaga, namun kembali menemui sentuhan pada babak kedua.

“Di babak kedua pemain saya mempunyai banyak peluang menjaringkan gol, tetapi dikecewakan kecekapan penjaga gol MU, Norazlan Razali yang menyelamatkan tiga peluang terbaik.

“Kalau tidak kerana Norazlan sudah pasti pasukan saya boleh pulang dengan tiga mata penuh. Apa pun saya kagum dengan kecekapan penjaga gol MU dan sewajarnya dia dinobatkan ‘man of the match’,” katanya dalam sidang akhbar selepas tamat aksi.

Sementara itu, Jurulatih MU, Mohd. Asri Ninggal berkata, beliau melahirkan rasa lega pasukannya tidak tewas walaupun KL City menguasai sepenuhnya babak perlawanan.

“Saya puji pemain beraksi dengan baik sepanjang 90 minit babak perlawanan untuk menyekat KL City daripada menjaringkan gol.

“Saya kagum ke atas Norazlan yang diturunkan sebagai penjaga gol utama menggantikan Tian Keat See mempamerkan aksi paling menarik untuk menyelamatkan banyak percubaan di mana tiga daripadanya sepatutnya menghasilkan gol buat KL City,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Source link

Leave a Reply

Your email address will not be published.