Kita selalu mendengar atau biasa terbaca pihak kerajaan menyebutkan istilah B40, M40 dan T20 dalam laporan-laporan atau bantuan-bantuan yang diumumkan. Istilah-istilah ini digunakan untuk mengkelaskan pendapatan isi rumah di Malaysia kepada kumpulan atau golongan berdasarkan pendapatan bulanan mereka.
Jadi apakah yang dimaksudkan dengan B40, M40 dan T20 dalam pengkelasan pendapatan? B40, M40 dan T20 merupakan singkatan kepada Bottom 40%, Middle 40% dan Top 20%.
Jabatan Perangkaan Malaysia di bawah Jabatan Perdana Menteri telah mengkelaskan kumpulan pendapatan isi rumah ini unutk memudahkan kaji selidik dibuat dalam merangka polisi perancangan pembangunan dan pentadbiran negara.
Berdasarkan data dan statistik yang dikumpulkan, kerajaan dapat merancang inisiatif dan program bagi membantu setiap golongan rakyat khususnya golongan yang berpendapatan rendah serta merapatkan jurang pendapatan antara isi rumah.
Maksud Kumpulan Pendapatan B40, M40 Dan T20
B40 (Bottom 40%)
B40 ialah golongan berpendapatan rendah merujuk kepada 40% penduduk Malaysia yang berada pada kedudukan paling bawah dari aspek pendapatan isi rumah. Isi rumah yang tergolong dalam kumpulan ini ialah yang berpendapatan bulanan kurang daripada RM4,850.
Kumpulan isi rumah B40 ini merangkumi isi rumah Miskin dan Miskin Tegar. Isi rumah Miskin adalah kelompok yang berpendapatan kurang daripada paras nilai Pendapatan Garis Kemiskinan (PGK) nasional, manakala Isi rumah Miskin Tegar adalah kumpulan yang berpendapatan kurang daripada paras PGK makanan. Nilai purata PGK nasional ialah RM2,208 sebulan manakala purata nilai PGK makanan adalah RM1,038 sebulan.
B40 merupakan golongan sasar kepada sebahagian besar program-program bantuan kerajaan seperti Bantuan Sara Hidup Rakyat BSH, skim kesihatan PeKa B40, skim takaful mySalam dan subsidi bil elektrik (miskin dan miskin tegar sahaj).
Artikel Sebelumnya: Usahawan MEDAC terkesan banjir boleh mohon moratorium
M40 (Middle 40%)
M40 ialah golongan berpendapatan sederhana. Ia merujuk kepada 40% penduduk Malaysia yang berada pada kedudukan pertengahan dari aspek pendapatan isi rumah. Isi rumah yang termasuk dalam golongan M40 ialah yang berpendapatan di antara RM4,850 hingga RM10,959 sebulan.
T20 (Top 20%)
T20 ialah golongan berpendapatan tinggi. Ia merujuk kepada 20% isi rumah di Malaysia yang berada pada kedudukan teratas dari aspek pendapatan isi rumah. Isi rumah yang tergolong dalam T20 ialah yang berpendapatan bulanan RM10,960 atau lebih.
Diharap info ringkas ini memberi pemahaman kepada anda apabila terbaca atau mendengar istilah B40, M40 dan T20 yang sering disebut-sebut oleh para menteri dan media massa. Namun begitu pendapatan setiap golongan ini akan berubah setiap tahun mengikut pertumbuhan ekonomi semasa.
Suber: Jabatan Perangkaan Negara