JOHOR BAHRU – Selepas berehat selama dua tahun akibat wabak Covid-19, Pesta Perbarisan Chingay kembali dengan sambutan meriah yang menyaksikan lebih 300,000 orang berkerumun di sepanjang Jalan Wong Ah Fook dan sekitar bandar raya ini di sini, malam ini.
Pengunjung termasuk pelancong asing mula beratur di sepanjang jalan seawal jam 5 petang untuk menyaksikan perarakan yang bermula kira-kira jam 7 malam.
Perarakan lebih 80 kenderaan berhias yang menempuh jarak kira-kira 7.8 kilometer itu bermula di Kuil Xing Gong di Jalan Ulu Air Molek, melalui Jalan Yahya Awal, Jalan Ibrahim, Jalan Wong Ah Fook, Jalan Gereja, Jalan Ngee Heng, Jalan Tun Abdul Razak, akhirnya berakhir kembali di Kuil Xing Gong, di sini.
Seorang pengunjung dari Kuala Lumpur, Yang Chun Hou, 29 berkata, dia sangat teruja untuk menyaksikan perbarisan itu kerana ini merupakan kali pertamanya di festival itu.
“Saya tidak sangka begitu ramai orang berada di sini. Dua tahun festival ini terlepas kerana Covid-19, jadi sudah tentu tahun ini ia mesti diadakan secara besar-besaran,” kata Yang ketika ditemui di sini hari ini.
Sementara itu, Hezrina Hedzer, 53, berkata kali terakhir dia menghadiri pesta perbarisan itu adalah pada 2020 tetapi ia adalah sambutan kecil.
“Tahun ini orang ramai lebih ramai dan suasana penuh dengan kemeriahan dengan penyertaan rakyat pelbagai kaum dan bangsa,” kata suri rumah itu.
Pelancong dari Romania, Greg Danciu, 35, dan pasangannya, Ioana Cristodorescu, 23, yang sedang bercuti selama dua hari di negeri itu berkata ini merupakan pengalaman baharu buat mereka kerana tidak pernah tahu festival sebegitu wujud.
“Kami gembira dapat menyaksikan kepelbagaian budaya di sini kerana ini kali pertama kami melawat Malaysia,” kata Danciu.
Terdahulu, Sultan Johor Sultan Ibrahim Sultan Iskandar tiba bagi merasmikan perayaan Chingay Parade 2023 dengan memukul gendang di pentas utama.
Turut hadir Menteri Besar Johor Datuk Onn Hafiz Ghazi, Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Liew Chin Tong dan Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Alam Sekitar, Warisan dan Kebudayaan Negeri K.Raven Kumar.
Perayaan itu penting kepada masyarakat Cina kerana ia mencerminkan semangat kemasyarakatan yang kuat antara lima kumpulan dialek iaitu Teochew, Hokkien, Hakka, Guangsiew dan Hainan.
Kali terakhir festival itu diadakan pada 2020 dan ia dianjurkan secara kecil-kecilan dengan hanya lima kenderaan berhias dalam perarakan, bagi mengekang penularan Covid-19. – BERNAMA
Sumber dipetik:
sinardaily[dot]my