gambar untuk tujuan ilustrasi – FILE PIC
SEPANG- Sebanyak 32,718 kes atau 85 peratus daripada 38,683 kes sulh (perdamaian) yang didaftarkan di mahkamah Syariah di seluruh negara dari 2019 hingga 2022 merekodkan penyelesaian secara baik melalui prosiding sulh.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar berkata antara kes itu ialah pertikaian hak penjagaan anak, nafkah anak, harta dan mutaah.
Beliau berkata kes yang tidak diselesaikan melalui prosiding sulh akan dibicarakan di hadapan hakim.
“Bayangkan jika tiada pengantaraan sulh, 38,000 kes berdaftar akan terus ke mahkamah,” katanya kepada pemberita selepas majlis penyerahan sijil profesional kursus kemahiran pengantaraan sulh dan melancarkan Skuad Sulh di sini hari ini.
Mohd Na’im berkata sulh bukan sahaja menyelesaikan pertelingkahan antara pihak terbabit malah lebih daripada itu, contohnya jika melibatkan pertikaian hak penjagaan anak, pegawai sulh juga akan menitikberatkan cara membina hubungan baik demi menjaga kebajikan anak-anak – BERNAMA
Sumber dipetik:
sinardaily[dot]my