Lee Chong Wei Kini Bergelar Doktor Kehormat Sempena Konvokesyen USM ke-58

Lee Chong Wei Kini Bergelar Doktor Kehormat Sempena Konvokesyen USM ke-58
Kongsikan Artikel ini

ARAU – Bekas jaguh badminton negara Datuk Lee Chong Wei dianugerahkan Ijazah Kehormat Doktor Sains Sukan sempena Konvokesyen ke-58 Universiti Sains Malaysia (USM). Upacara berlangsung di Green Room Istana Arau.

Lee Chong Wee FB

Naib Canselor USM Prof Faisal Rafiq Mahamd Adikan berkata ijazah kehormat dianugerahkan kepada Lee kerana sumbangannya membawa kejayaan kepada negara sebagai pemenang pingat perak Olimpik tiga kali dan kedudukannya sebagai ikon sukan negara.

“Selain beliau (Lee), empat individu lain menerima anugerah mereka hari ini, Dr David Lacey menerima Ijazah Kehormat Doktor Sains, sebagai kapten industri yang telah memberi sumbangan besar kepada pembangunan ekonomi negara melalui kepakarannya dalam bidang sains.

“Bekas ahli akademik USM Prof Emeritus Zhari Ismail menerima gelaran Profesor Emeritus, manakala bekas Naib Canselor usm wanita pertama, Datuk Asma Ismail, menerima gelaran Profesor Emerita,” katanya kepada pemberita selepas majlis itu di sini hari ini.

Tuanku Syed Sirajuddin turut berkenan mengurniakan Pingat Emas Canselor (Pelajar Terbaik Dalam Semua Bidang) kepada Khaw Teng Kang dari Pusat Pengajian Kejuruteraan Elektrik dan Elektronik yang memperoleh Purata Nilai Gred Culmulatif (PNGK) 3.97.

Sementara itu, Lee berkata beliau amat berbesar hati dengan pengiktirafan itu dan sentiasa terbuka untuk bekerjasama dengan USM dalam memajukan bidang sains sukan.

“Ini adalah kali pertama saya menerima anugerah seperti ini dan saya akan melihat bagaimana saya boleh menggunakan pengalaman saya dalam sukan ini untuk membantu universiti (USM) pada masa akan datang,” katanya.

Sesi kedua hingga ke-10 Konvokesyen USM akan berlangsung di Dewan Tuanku Syed Putra (DTSP), USM di Pulau Pinang pada 13 hingga 21 Disember. Seramai 5,964 graduan akan menerima ijazah masing-masing, dengan 1,899 menerima ijazah sarjana muda (PhD dan Sarjana), ijazah sarjana muda (4,031) dan Diploma Kejururawatan (34). — Bernama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *