Lima ‘doktor’ antara 12 ditahan kerana mengedar dadah di pusat hiburan KL

Kongsikan Artikel ini


Gambar hiasan - Gambar kecil: Mohamad Farouk Eshak

Gambar hiasan – Gambar kecil: Mohamad Farouk Eshak

KUALA LUMPUR – Lima ‘doktor’ pusat hiburan antara 12 yang ditahan kerana disyaki terlibat dalam memproses dan mengedar dadah di pusat hiburan sekitar bandar ini baru-baru ini.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Azmi Abu Kassim berkata, suspek terdiri daripada 10 lelaki tempatan, seorang wanita tempatan dan seorang wanita warga asing, ditahan di Lembah Klang oleh sepasukan anggota Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Kuala Lumpur dan Bukit Aman dalam tiga operasi berasingan dari 7 Feb hingga 9 Feb.

Beliau berkata ‘doktor’ itu bertanggungjawab mencampurkan serbuk dan dadah cecair dipercayai ketamin ke dalam minuman sebelum anggota sindiket lain mengedarkan minuman bercampur dadah itu untuk dijual pada harga RM300 sebotol di pusat hiburan lain di bandar ini.

“Dalam operasi pertama (nama kod) ‘Devon Rex’, polis menahan enam lelaki tempatan berusia antara 22 dan 39 tahun dan merampas 21 kilogram (kg) ketamin dianggarkan RM1.2 juta dan 2 kg syabu bernilai RM72,000.

“Susulan penahanan itu, polis melakukan serbuan kedua pada 8 Feb dengan nama kod ‘Breadnut’ dan menahan lima ‘doktor’ itu terdiri daripada tiga lelaki tempatan, seorang wanita tempatan dan seorang wanita warga asing berusia antara 24 dan 34 tahun.

“Dalam serbuan itu, kami merampas pelbagai jenis dadah dan rokok yang mengandungi cendawan sintetik dianggarkan bernilai RM340,000,” katanya kepada pemberita, di sini, hari ini.

Azmi berkata, dalam serbuan ketiga dengan nama kod ‘Catclaw’, polis merampas sekilogram ketamin dianggarkan RM55,000 dan menahan seorang lelaki tempatan berusia 37 tahun, sambil menambah tiga sindiket itu aktif sejak enam bulan lalu.

“Kebanyakan pengguna mengenali ‘doktor’ masing-masing yang akan mencampurkan ubat mengikut keperluan mereka. ‘Doktor’ ini kononnya ada resipi sendiri,” katanya. – BERNAMA

Ezoiklaporkan iklan ini


Sumber dipetik:
sinardaily[dot]my

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *