“Macam Kapal Terbang” – Pelancong Puji Servis KTM, Jauh Berbeza Dengan Thailand

Kongsikan Artikel ini

Apabila hendak pergi melancong kebiasaanya kita akan memilih beberapa pengangkutan yang mudah untuk kita bergerak dan antara yang menjadi pilihan ramai adalah bas, kapal terbang, dan juga kereta api.

Selain mahukan perjalanan yang mudah kita juga akan menitikberatkan keselesaan sewaktu menaiki pengangkutan tersebut seperti yang ditawarkan oleh Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) terutama jika perjalanan itu memakan masa yang lama.

Pelancong puji perkhidmatan KTM

Baru-baru ini, tular satu hantaran di Facebook yang dimuat naik oleh seorang pelancong, Richard Barrow iaitu seorang penulis dan guru di Thailand yang memuji keselesaan yang diberikan oleh KTM semasa melancong di negara ini, seperti lapor buzzkini.com.

Menerusi hantaran itu, Richard memaklumkan dia memilih untuk menaiki KTM bagi perjalanan dari Butterworth, Pulau Pinang menuju ke Kuala Lumpur.

Dia kemudian membeli tiket kelas perniagaan yang berharga RM150 bagi perjalanan yang memakan masa selama empat jam.

Foto: FB Richard Barrow

Kagum dengan setiap perkara semasa berada di dalam KTM

“Saya sangat kagum dengan segala-galanya. Thailand perlu menaik taraf perkhidmatan pengangkutan mereka. Saya tahu mereka kini mempunyai kereta api Red Line tetapi masih belum sama seperti ini. Kami memerlukan sesuatu seperti ini untuk ke Chiang Mai.

“Tidak lama selepas kami berlepas, pelayan akan datang membawa makanan tengah hari yang sudah termasuk di dalam harga tiket. Kemudian dua jam selepas itu mereka sekali lagi datang dengan membawa kopi serta teh dan makanan ringan. Ia adalah pengalaman yang hampir sama dengan penerbangan,” kata Richard.

Terangkan apa yang bakal diterima pembeli jika beli tiket kelas standard

Foto: FB Richard Barrow

Ricard dalam masa sama turut menerangkan sekiranya pelanggan membeli tiket bagi kelas standard yang berharga RM80 ia tidak termasuk dengan makanan. Manakala bagi susunan tempat duduk pula adalah 2+2.

“Dalam gerabak saya ia 1+2 maka kami mempunyai lebih banyak ruang berbanding yang membeli tiket kelas standard.

“Salah satu perkara terbaik ialah gerabak restoran meskipun ia agak kecil kerana berkongsi ruang dengan gerabak biasa. Saya sudah lama tidak merasainya.

“Semoga Thailand akan mempunyai gerabak restoran menjelang Januari tahun depan,” katanya lagi.

Ramai berterima kasih atas pujian yang diberikan, selain beri cadangan untuk cuba perkhidmatan yang lain

Melihat di ruangan komen, ramai yang teruja melihat pujian tersebut dan berterima kasih kepadanya. Malah ada yang memberi cadangan agar beliau cuba untuk menggunakan perkhidmatan lain seperti ETS dan banyak lagi.

‘Terima kasih atas komen positif terhadap pengangkutan di negara kami’

‘ Gembira kerana awak suka dengan perkhidmatan ini’

‘Saya akan kembali untuk merasai kereta api di laluan timur’

Source link

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *