Malaysia mengutuk sekeras-kerasnya tindakan seorang ahli politik Sweden membakar al-Quran

Kongsikan Artikel ini
KUALA LUMPUR – Malaysia mengecam sekeras-kerasnya tindakan ahli politik sayap kanan Sweden-Denmark yang ekstremis, Rasmus Paludan dalam membakar naskhah al-Quran, kitab suci Islam, di Stockholm, Sweden.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata Malaysia juga menggesa kerajaan Sweden mengambil langkah segera terhadap pelaku perbuatan keji itu serta memastikan langkah drastik pada masa depan untuk menangani kebangkitan Islamofobia yang membimbangkan di negara itu.

“Pencemaran terang-terangan terhadap kitab suci Islam oleh ahli politik Sweden itu dan ketiadaan tindakan adalah sama dengan mencetuskan Islamophobia dan merupakan provokasi besar terhadap sensitiviti bukan sahaja Turkiye tetapi lebih daripada dua bilion umat Islam di dunia.

“Malaysia mengecam jenayah kebencian yang berulang kali menyasarkan umat Islam di dunia serta segala bentuk hasutan untuk membenci dan menyemarakkan perkauman dalam perkataan atau perbuatan dan pandangan dengan penuh kebimbangan terhadap gelombang ucapan kebencian yang semakin meningkat kerana kepercayaan atau etnik,” katanya katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Anwar menegaskan Malaysia mengulangi pentingnya menegakkan prinsip dialog, penglibatan dan saling menghormati dalam penyelesaian pertikaian.

Beliau juga menyeru masyarakat antarabangsa untuk menolak umpan kaum atau agama dengan berselindung di sebalik kebebasan bersuara dan terus bersatu menentang segala bentuk hasutan kebencian dan keganasan.

Rasmus Paludan, ketua parti sayap kanan Denmark Stram Kurs (Garisan Keras), dibenarkan membakar al-Quran pada hari Sabtu di luar Kedutaan Turki di Stockholm, menyebabkan dunia Islam meletus kemarahan akibat insiden itu. – Bernama

sinardaily[dot]my

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *