KOTA TINGGI: Salah seorang daripada mangsa lemas yang kritikal ketika mandi di Pantai Tanjung Balau semalam dirujuk kepada doktor pakar di Hospital Sultan Ismail (HSI).
Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superintenden Hussin Zamora berkata, mangsa Mohd. Asyraf Syazwan Mohd. Fairuz, 7, yang tinggal di Felda Sungai Mas telah dihantar ke Unit Rawatan Rapi Pediatrik (PICU) HSI malam tadi untuk pemantauan rapi, manakala kakaknya, Nur Azrin Syazwani, 14, masih dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Kota Tinggi (HKT).
“Seorang mangsa masih ditahan di HKT, manakala seorang lagi yang dirawat di hospital sama telah dihantar ke HSI malam tadi untuk rawatan dan pemantauan pihak doktor.
“Mangsa masih mendapat rawatan di PICU HSI serta masih tidak sedarkan diri dan di bawah pemerhatian daripada pakar,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Sementara itu, Hussin memberitahu, hasil bedah siasat terhadap mayat Nurish Qhalisya Suhailizam, 13, mendapati punca kematiannya adalah disebabkan lemas.
Terdahulu, kesemua mangsa datang beriadah di pantai berkenaan pagi semalam sebelum lemas yang meragut nyawa Nurish Qhalisya.
Mayatnya dijumpai pada pukul 2.37 petang semalam kira-kira 50 meter dari lokasi dipercayai hilang dalam keadaan tersangkut di celah batu.
Mohd. Ashraf Syazwan dan Nur Azrin Syazwani tidak sedarkan diri, manakala tiga lagi rakan mereka, Siti Alesya Qistina Mustafa, 13, Siti Alysya Abdullah, 13, dan Nur Zurin Hafeeza Mohd. Azhari, 13, terselamat.
Jenazah Nurish Qhalisya selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Gugusan Waha pukul 10.28 malam tadi. – UTUSAN