Mengapa perlu bersenam.

Kongsikan Artikel ini

Senaman ialah aktiviti fizikal yang lebih tinggi intensitinya daripada aktiviti harian bertujuan bagi memeperolehi manfaat kesihatan baik dari segi fizikal dan juga mental.

Senaman boleh menjadi rutin jika aktiviti yang kita pilih itu seronok untuk  dilakukan. Namun jenis senaman atau aktiviti kesukaan berbeza mengikut individu berkenaan seperti berjalan, berlari, mendaki, mengikuti kelas kecergasan atau menggunakan mesin larian treadmill dan sebagainya. Walau apa pun pilihannya, senaman ialah kemestian untuk mengekalkan kesihatan.

Berdasarkan Tinjauan Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan (NHMS) 2015 yang dijalankan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia mendapati sebanyak 33.5% rakyat Malaysia tidak aktif secara fizikal. Ini bermakna hanya 14 juta rakyat Malaysia berumur 16 tahun ke atas yang aktif secara fizikal.

kredit ; pixabay

KEBAIKAN SENAMAN

Meningkatkan kecergasan fizikal

Memperbaiki keseimbangan, koordinasi dan ketangkasan

Meningkatkan kualiti tidur

Mempertingkatkan keyakinan diri dan mengurangkan keresahan

Mengawal tekanan darah dan mengurangkan risiko penyakit jantung dan diabetes

Mengekalkan berat badan ideal

Meningkatkan ketumpatan tulang

Meningkatkan fungsi kognitif

SARANAN AKTIVITI FIZIKAL MENGIKUT UMUR

Cadangan Aktiviti Fizikal bagi Umur 5 hingga 17 tahun

Aktiviti fizikal yang dicadangkan: Bermain atau beriadah, bersukan, melakukan kerja rumah, berekreasi sama ada di rumah, di sekolah atau dalam komuniti.

Tempoh masa : Melakukan sekurang-kurangnya 60 minit aktiviti fizikal tahap sederhana atau tahap tinggi setiap hari.

Cadangan Aktiviti Fizikal bagi Umur 18 Tahun hingga 64 Tahun

Aktiviti fizikal yang dicadangkan:

Boleh dibahagikan mengikut domain seperti aktiviti fizikal waktu senggang (contoh: membasuh kereta atau berkebun), perjalanan (contoh: berjalan atau berbasikal), pekerjaan, melakukan kerja rumah, bermain, rekreasi luar dan bersukan sama ada bersama dengan keluarga, rakan atau komuniti.

Tempoh masa:

Sekurang-kurangnya 150 minit seminggu. Konsep kumulatif 150 minit seminggu merujuk jumlah masa yang dicampurkan dengan aktiviti fizikal yang dilakukan sekurang-kurangnya 30 minit setiap hari secara berterusan. Misalnya 30 minit aktiviti fizikal tahap sederhana, 5 hari seminggu.

Individu dewasa yang tidak aktif pula, lebih baik melakukan sedikit aktiviti daripada tidak melakukan sebarang aktiviti fizikal. Individu dewasa yang tidak mencapai keaktifan yang disarankan perlu lebih fokus untuk meningkatkan tempoh masa, kekerapan dan intensiti yang lebih tinggi.

Saranan Aktiviti Fizikal bagi Umur 65 Tahun dan Ke Atas

Aktiviti fizikal yang dicadangkan:

Domain aktiviti fizikal termasuklah aktiviti fizikal pada masa senggang (contohnya berkebun), perjalanan (contohnya berjalan atau berbasikal), pekerjaan (bagi individu yang masih bekerja), melakukan kerja rumah, aktiviti rekreasi, senaman (contohnya regangan, jogging & tai-chi) dan bersukan.

Tempoh masa :

Melakukan sekurang-kurangnya 150 minit aktiviti fizikal tahap sederhana seminggu atau sekurang-kurangnya 75 minit aktiviti fizikal tahap tinggi sepanjang minggu dengan kombinasi aktiviti fizikal tahap tinggi dan sederhana.

infosihat

Bagi menggalakkan rakyat Malaysia khususnya golongan yang kurang aktif dalam melakukan aktiviti fizikal untuk menjadi lebih cergas, Kementerian Kesihatan Malaysia menggalakkan rakyat untuk berjalan 10,000 langkah sehari.

Sumber: InfoSihat.gov

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *