Miliki Rekod Baik, Peja Akui Berbincang Untuk Pelawa KJ Bertanding Di Negeri Sembilan

Kongsikan Artikel ini


Sejak bekas Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin (KJ) dipecat dari parti tersebut banyak parti-parti politik lain yang mula ‘merisiknya’ untuk menyertai parti mereka.

Malah beliau sebelum ini turut menyatakan bahawa dirinya masih mahu terlibat dalam dunia politik dan sehingga kini belum lagi memberi sebarang jawapan tentang parti mana yang akan disertainya.

Baca artikel berkaitan: “Saya Masih Mahu Terbabit Dalam Politik”- KJ Perlu Masa & Hati-hati Sebelum Buat Keputusan

PN pelawa KJ bertanding di Negeri Sembilan pada PRN

Terbaharu, kerana mempunyai kepimpinan serta rekod perkhidmatan yang baik, ia menjadi sebab utama parti gabungan Perikatan Nasional (PN) mempelawa KJ untuk bertanding atas tiket PN pada Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang.

Memetik laporan Harian Metro, Timbalan Presiden Bersatu, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu menyatakan perbincangan secara tak rasmi dilakukan oleh pemimpin PN untuk meletakkan KJ bertanding pada PRN hadapan memandangkan beliau telah dipecat dari UMNO.

KJ diterima oleh kebanyakan rakyat, miliki reputasi yang baik

Perkara itu disebabkan KJ merupakan seorang pemimpin yang baik selain beliau juga diterima oleh kebanyakan rakyat.

Jelasnya, bekas Menteri di Kementerian Kesihatan tersebut sebelum ini turut menunjukkan reputasi yang baik ketika menjadi menteri kementerian berkenaan semasa negara berhadapan dengan virus Covid-19.

“Beliau (KJ) juga digambarkan oleh pelbagai parti politik sebagai seorang pemimpin berpotensi.

“Jadi , kami (PN) amat mengalu-alukan beliau bekerjasama dengan kami (dalam PRN) kerana yakin hasrat beliau untuk melawan kemungkaran dan memperbaiki sistem penyamapaian dalam kerajaan negeri serta pusat itu selari dengan apa yang diperjuangkan dalam PN.

“Kami yakin inilah wadah perjuangan untuk beliau, namun apa juga keputusan yang beliau buat nanti, saya amat hormati sebagai seorang shabat,” ujarnya.

KJ dicalonkan sebagai MB Negeri Sembilan jika bertanding tiket PN

Faizal yang juga dikenali sebagai Peja turut diminta untuk mengulas tentang syor pelbagai pihak terutama kepimpinan Bersatu supaya KJ dicalonkan menjadi Menteri Besar Negeri Sembilan sekiranya beliau bersetuju untuk bertanding atas tiket PN dan menang pada PRN di negeri terbabit.

Beliau menjawab perkara itu sudah dibincangkan bersama dengan Khairy namun masih belum ada sebarang keputusan lagi.

“Mungkin ketika ini beliau sedang fokus untuk tugasan DJ di radio HotFM,” ucapnya.




Sumber dipetik:
Source link

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *