
Nama Halima Aden tidak perlu diperkenalkan lagi dalam dunia fesyen antarabangsa.
Merupakan warganegara Amerika Syarikat berketurunan Somalia, dia mula melakar nama apabila menjadi peserta pertama Miss USA yang mengenakan hijab dan berjaya menjadi semi-finalis Miss Minessota USA 2016.
Sejak itu, wanita berusia 26 tahun ini tidak lagi menoleh ke belakang. Namanya menjadi popular dan dia dilamar untuk bernaung di bawah agensi peragaan terkemuka. Dia menjadi pilihan pelbagai jenama antarabangsa dek kecantikannya dan juga kelainan yang ditonjolkan sebagai hijabi.
Namun seiring dengan berkembang kerjayanya, dia tidak berpuas hati dengan layanan yang diterima apabila sesetengah pihak tidak menghormati dirinya sebagai wanita berhijab.
Wanita berkulit hitam manis ini menyatakan yang terdapat situasi yang mana dia dipaksa menutup rambutnya dengan cara yang tidak mengikut syariat dan bertentangan dengan kepercayaannya sebagai seorang muslim.
Sekitar penghujung 2020, Halima mengumumkan dia mahu mengundurkan diri dari dunia fesyen dan menumpukan kepada dunia kebajikan. Dia juga hanya menerima kolaborasi fesyen yang melambangkan dirinya sebagai wanita muslim dengan hijab yang dipakai sempurna.

Namun pada Jun 2023 yang lalu, Halima yang memiliki lebih sejuta pengikut di Instagram ini mengejutkan ramai apabila dia tampil dengan gaya selendang yang memperlihatkan rambut pada dua hantaran terkini di Instagram.
Menerima lebih kurang 100 ribu tanda suka untuk kedua-dua gambar beserta ribuan pertanyaan ramai, dia menutup ruangan komen dan sehingga kini tidak lagi mengemaskini Intagramnya sejak tiga minggu lalu.
Perkara ini mengejutkan ramai apatah lagi dia merupakan figura yang sebelum ini lantang mempertahankan hijab dalam dunia fesyen antarabangsa.
++Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di halaman rasmi Telegram Media Hiburan
Sumber dipetik: media hiburan
Source link