KUALA LUMPUR – Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Tan Sri Muhyiddin Yassin menafikan dakwaan beliau terlibat dalam pemberian kontrak Sistem Imigresen Bersepadu Nasional (NIISe) kepada IRIS Corporation Berhad, yang dikaitkan dengan menantunya.
Muhyiddin yang juga presiden Bersatu menyifatkan laporan yang disiarkan di sebuah portal semalam sebagai fitnah jahat yang sengaja direka untuk mencemarkan maruah beliau dan keluarganya.
“Saya sebagai perdana menteri ketika itu tidak pernah terlibat dalam proses pemberian kontrak NIISe kepada IRIS Corporation Berhad yang dijalankan secara tender terbuka,” tulisnya dalam catatan di laman Facebooknya.
Ahli Parlimen Pagoh itu juga berkata proses perolehan kontrak itu dibuat mengikut prosedur biasa di bawah seliaan Kementerian Kewangan dan kementerian berkaitan, sambil menambah ia bukan di bawah bidang kuasa beliau sebagai perdana menteri ketika itu.
“Selain itu, tiada ahli keluarga saya mempunyai kepentingan dalam IRIS Corporation Berhad, sama ada sebagai pengarah syarikat atau pemegang saham,” katanya. – BERNAMA
Sumber dipetik:
sinardaily[dot]my