Anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Selangor dikerahkan untuk operasi mencari dan menyelamat (SAR). – JBPM Selangor
KUALA LUMPUR – Operasi mencari dan menyelamat (SAR) seorang lagi kanak-kanak yang dikhuatiri lemas selepas terjatuh ke dalam longkang di Jalan Ukay Perdana, Ukay Perdana, di sini, digantung malam ini berikutan keadaan di tempat kejadian terlalu gelap.
Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Selangor Datuk Norazam Khamis berkata SAR dihentikan sementara pada pukul 9 malam dan akan diteruskan pada pukul 7.30 pagi esok.
Katanya, pencarian Muhammad Riqullah Mohd Shafie yang berusia 10 tahun akan tertumpu di sepanjang tebing sungai.
“Ketika kejadian, kedua-dua mangsa dipercayai bermain air berhampiran longkang bersama tiga lagi rakannya,” katanya ketika dihubungi Bernama malam ini.
Seorang kanak-kanak lelaki berusia lapan tahun ditemui mati lemas petang tadi, selepas dipercayai dihanyutkan arus di dalam longkang di Jalan Ukay Perdana, Ampang, di sini.
Mangsa dikenali sebagai Wan Muhammad Ammar Wan Mohd Noor Hafizan. – BERNAMA
Sumber dipetik:
sinardaily[dot]my