SEREMBAN: Aksi perlawanan akhir Piala FA di antara Terengganu FC dan Johor Darul Ta’zim (JDT) berlangsung dengan rancak serta menghiburkan semalam.
Ramai berpandangan, ia turut dibantu oleh padang Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ) yang berada dalam keadaan baik, termasuk penggunaan kanvas yang dipinjamkan JDT.
Bagaimanapun, Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata, kerja-kerja penyelenggaraan dan penambahbaikan di SNBJ akan diteruskan bagi memastikan ia kekal dalam keadaan terbaik.
“Semua orang tahu, saya mahu tutup awal lagi (SNBJ) untuk diperbetulkan. Saya baru jadi menteri (selama) setahun, tidak dapat hendak buat sebetul-betulnya.
“Tetapi kita ke arah itu, kita sudah hendak tutup (SNBJ) tapi apabila ada permintaan untuk dibuka semula, jadi kita buka demi kepentingan semua,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas menyempurnakan Majlis Perasmian Penutup Program Institut Latihan Kemahiran Belia dan Sukan (IKLBS) Career Fest Zon Tengah dan Majlis Anugerah Innovation Development Through Educational Activities-iDEA 2022 di Nilai, di sini hari ini.
Sementara itu, Ahmad Faizal memaklumkan, beliau tidak boleh mengulas lebih lanjut mengenai SNBJ, termasuk keadaan padang dan penggunaan kanvas tersebut kerana ia dikendalikan Perbadanan Stadium Malaysia (PSM).
“Saya dari Kementerian Belia dan Sukan, dan stadium (SNBJ) dikendalikan oleh PSM dan disewa pihak Liga Bola Sepak Malaysia (MFL). Apa yang berlaku di padang semalam, kena tanya MFL dan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), bukan kepada kami,” katanya. – UTUSAN ONLINE