Pas Perjalanan Tanpa Had MY50 Mulai 1Jan2022

Pas Perjalanan Tanpa Had MY50 Mulai 1Jan2022
Kongsikan Artikel ini

Bermula 1 Januari, pengguna perkhidmatan rel dan bas di Lembah Klang di bawah kendalian Prasarana akan dapat menikmati pas perjalanan tanpa had bernilai RM50 sebulan seperti yang diumumkan pada Belanjawan 2022 lalu.

Menteri Pengangkutan Dato’ Sri Ir. Wee Ka Siong mengumumkan bahawa My50 menggantikan pas perjalanan tanpa had My30, yang diperkenalkan Kerajaan di bawah skim Pelan Jana Semula Ekonomi Negara atau PENJANA pada bulan Jun 2020.

Pengenalan pas perjalanan My50 ini adalah bukti bahawa Kerajaan begitu prihatin dengan kebajikan dan kesejahteraan rakyat khususnya dalam keadaan mencabar sekarang selaras dengan aspirasi ‘Keluarga Malaysia’.

“Dengan pengenalan pas perjalanan My50 ini dan dengan perkembangan baik berterusan Pelan Pemulihan Negara (PPN), pihak Kementerian dan Prasarana yakin tahun 2022 akan menyaksikan peningkatan dalam jumlah penumpang menggunakan perkhidmatan kendalian Prasarana,” kata Wee.

Pas Perjalanan Tanpa Had MY50 Mulai 1Jan2022
Pas Perjalanan Tanpa Had MY50 Mulai 1Jan2022

Pas perjalanan My50 menawarkan perjalanan tanpa had kepada warga negara Malaysia untuk menggunakan semua perkhidmatan pengangkutan awam kendalian Prasarana – LRT, MRT, BRT, Monorel dan bas henti-henti Rapid KL serta bas perantara Jom Naik MRT dengan hanya membayar RM50 untuk tempoh penggunaan 30 hari berturut-turut.

Kemudahan pas perjalanan My50 turut disediakan di Pulau Pinang untuk penggunaan tanpa had perkhidmatan bas Rapid Penang di bawah label Pas Mutiara.

Baca Artikel: # 5 Tip Terbaik Perjalanan Selamat Semasa Covid
# Jalan darat Malaysia-Singapura dibuka mulai 29 November

Menurut beliau, secara keseluruhan untuk tahun 2021, berdasarkan statistic sehingga 24 Disember 2021, purata jumlah penumpang harian yang dikendalikan oleh Prasarana adalah 462,246 penumpang. Purata jumlah penumpang untuk perkhidmatan rel adalah 324,517 penumpang sehari dan untuk bas, yang meliputi perkhidmatan Rapid KL, Rapid Penang dan Rapid Kuantan, adalah 137,729 penumpang.

“Sebelum penularan wabak Covid-19, Prasarana pernah mengendalikan sehingga 1.1 juta penumpang sehari pada tahun 2019. Dengan keupayaan dan kapisiti yang dimiliknya, Prasarana mampu meningkatkan frekuensi tren dan bas kendaliannya andai permintaan meningkat sambil memastikan para penumpang terus menikmati perjalanan yang selesa, lancar dan selamat,” tambahnya.

Bagi menjayakan inisiatif pas perjalanan ini, Kerajaan memperuntukkan RM115 juta sebagai pembayaran subsidi untuk menampung kos yang perlu ditanggung oleh Prasarana dalam menyediakan perkhidmatan pengangkutan awam berkelas dunia ini.

Kata Wee, ia adalah pelaburan yang besar, tetapi amat penting kerana peranan yang dimainkan oleh sektor pengangkutan awam untuk kesejahteraan rakyat dan pembangunan ekonomi negara.
Untuk pembelian di Lembah Klang, orang ramai boleh melanggan pas perjalanan My50 ini pejabat-pejabat khidmat pelanggan Rapid KL di lokasi-lokasi berikut:

Semua stesen LRT

Semua stesen MRT

Semua stesen Monorel

Semua stesen BRT – Laluan Sunway

Hab-hab Bas Rapid KL terpilih – Pasar Seni; Chow Kit; KLCC; Sri Nilam; Puchong Utama; Pearl Point; Sunway Pyramid; Greenwood dan Seksyen 2 Shah Alam.

Lokasi-lokasi pembelian di Pulau Pinang pula adalah di kiosk-kiosk terpilih Rapid Penang – KOMTAR, Weld Quay (Terminal B); Penang Sentral; Bukit Jambul; Ibu Pejabat Rapid Penang (Lorong Kulit); Kompleks Dato’ Kailan (Kepala Batas); Balik Pulau; dan Bukit Mertajam.
Sumber: MyRapid

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *