Polis sedang mengesan seorang lagi wanita Rohingya yang dipercayai menjadi dalang di sebalik kejadian pecah rumah itu.
JOHOR BAHRU – Polis menahan empat etnik Rohingya termasuk seorang remaja perempuan berusia 14 tahun berhubung beberapa kes pecah rumah di sekitar daerah ini serta di Batu Pahat dan Kulai, dalam beberapa serbuan dijalankan pada Khamis.
Ketua Polis Johor Datuk Kamarul Zaman Mamat berkata empat lelaki itu – dua lelaki, seorang remaja perempuan dan seorang wanita berusia 14 hingga 27 tahun – ditahan dalam serbuan yang dijalankan mulai jam 12 tengah hari.
“Kumpulan itu disyaki memulakan kegiatan jenayah mereka pada pertengahan tahun ini, dan modus operandinya ialah memecah masuk rumah ketika penghuninya tiada pada waktu siang (waktu bekerja).
“Sasaran mereka adalah barang kemas dan wang tunai,” katanya sambil menambah polis turut merampas sebuah kereta Proton Persona, 10 resit kedai pajak gadai dan 16 set barang kemas.
Beliau berkata polis sedang mengesan seorang lagi wanita Rohingya, yang masih bebas, dikenali sebagai Norjahan Ismail, yang dipercayai menjadi dalang di sebalik kejadian pecah rumah itu.
Kamarul Zaman berkata dengan penahanan keempat-empat mereka, polis percaya enam kes pecah rumah membabitkan kerugian RM50,000 dapat diselesaikan. – BERNAMA