KUALA LUMPUR – Kerajaan Perpaduan hari ini mengumumkan pengenalan Pakej Perpaduan Jalur Lebar Internet Tetap yang bertujuan membantu isi rumah B40, veteran, orang kurang upaya dan warga emas menikmati perkhidmatan jalur lebar pada harga lebih rendah.
Menteri Komunikasi dan Digital Fahmi Fadzil berkata pengenalan pakej itu adalah sejajar dengan komitmen kerajaan untuk mengurangkan kos sara hidup rakyat.
Katanya, pakej itu menawarkan perkhidmatan internet dengan kelajuan sehingga 30 Mbps berserta data tanpa had yang berharga RM69 sahaja sebulan.
“Ia akan ditawarkan mulai Mac dan seterusnya dengan kontrak langganan 24 bulan.
“Harganya 22 peratus lebih murah berbanding harga pakej lain yang ada dengan spesifikasi sama iaitu sekitar RM89. Ini bermakna rakyat akan dapat menjimatkan RM480 sepanjang tempoh kontrak,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Fahmi berkata pakej itu ditawarkan dengan kerjasama penyedia perkhidmatan jalur lebar internet tetap sedia ada iaitu Telekom Malaysia (TM), CelcomDigi, Maxis, U Mobile, YTL, TIME Berhad dan Astro.
Menteri itu berkata inisiatif itu bukan sahaja selaras dengan aspirasi kerajaan untuk meringankan beban rakyat, tetapi juga penunjuk bahawa Kerajaan Perpaduan dan penyedia perkhidmatan benar-benar mengambil berat tentang keperluan dan kesejahteraan rakyat.
Selain itu, ia juga merupakan sebahagian daripada usaha memastikan sambungan digital yang lebih komprehensif pada harga yang jauh lebih rendah selaras dengan konsep Malaysia Madani, tambahnya.
– BERNAMA
Sumber dipetik:
sinardaily[dot]my