Pengerusi Gerakan Ummah (Ummah) Mohd Zai Mustafa berkata Ummah terkejut dengan pelantikan Nurul Izzah Anwar sebagai Penasihat Kanan Ekonomi dan Kewangan kepada Perdana Menteri
SHAH ALAM – Pelantikan bekas Ahli Parlimen Permatang Pauh, Nurul Izzah Anwar sebagai Penasihat Kanan Ekonomi dan Kewangan kepada Perdana Menteri bertentangan dengan prinsip dan janji Datuk Seri Anwar Ibrahim kepada rakyat semasa Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).
Pengerusi Gerakan Ummah (Ummah) Mohd Zai Mustafa berkata Anwar perlu melantik individu dalam kalangan ahli ekonomi yang pakar dalam bidang mereka.
“Ummah terkejut dan berasa janggal apabila mendapat tahu daripada media bahawa anak perempuan Perdana Menteri ke-10 sendiri telah dilantik sebagai Penasihat Ekonomi dan Kewangan pada 3 Jan 2023.
“Jawatan ini difahamkan diwujudkan untuk membantu menasihati Perdana Menteri secara pro bono (tanpa gaji).
“Agak pelik kerana sekiranya Perdana Menteri memerlukan nasihat pakar, beliau patut melantik salah seorang pakar ekonomi yang pakar dalam hal ehwal ekonomi negara ini.
“Prinsip pelantikan berdasarkan merit dan kepakaran serta tanpa nepotisme dalam kerajaan yang dilaungkan oleh Anwar telah dicabul dan diketepikan,” katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.
Pada Ahad, Nurul Izzah yang juga Naib Presiden PKR mendedahkan beliau dilantik sebagai Penasihat Kanan Ekonomi dan Kewangan kepada Perdana Menteri berkuat kuasa 3 Jan.
Sementara itu, Mohd Zai menegaskan, dalam negara yang kini berdepan kesukaran dan kesuraman ekonomi dunia, adalah penting bagi Perdana Menteri melantik seseorang yang benar-benar pakar untuk memberi nasihat dan hala tuju pelan pembangunan ekonomi negara yang lebih berdaya tahan.
“Ia untuk menyelamatkan negara dan rakyat keseluruhannya. Ini memerlukan banyak kepakaran dan pengalaman serta meyakinkan semua pihak.
“Agak malang bagi rakyat Malaysia apabila Perdana Menteri ke-10 gagal melaksanakan dan mempertahankan prinsip utama kerajaan sendiri yang dijanjikan semasa pilihan raya umum.
“Antara janji beliau ialah menolak rasuah, nepotisme, pelantikan berdasarkan merit kepakaran, menurunkan harga minyak dan bahan makanan asas untuk rakyat,” katanya.
Sumber dipetik:
sinardaily[dot]my