Tan Sri Azhar Azizan Harun
Azhar berkata parti politik itu diberitahu untuk mengemukakan nama parti dan ahli parlimen bebas untuk menyertai gabungan itu.
Beliau seterusnya berkata gabungan itu memerlukan 112 kerusi untuk membentuk kerajaan persekutuan melalui akuan berkanun oleh pemimpin parti.
“Mereka juga diminta menamakan seorang ahli Dewan Rakyat dalam gabungan mereka yang diamanahkan menjadi perdana menteri ke-10 melalui surat akuan berkanun daripada setiap ahli Dewan Rakyat.
“Dokumen tersebut perlu diserahkan kepada Istana Negara selewat-lewatnya pada hari Isnin, 21 Nov 2022, sebelum jam 2 petang,” katanya menerusi kenyataan itu, hari ini.
Azhar menjelaskan surat itu dihantar bagi menjunjung titah Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri-ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.
Tangkapan skrin kenyataan Azhar pada Ahad.
Baginda sebelum ini dilaporkan menitahkan supaya ketua parti politik dan gabungan parti dengan majoriti kerusi menyerahkan nama calon perdana menteri ke Istana Negara sebelum 2 petang Isnin.
Keputusan undian semalam menunjukkan tiada parti politik yang mempunyai majoriti mudah untuk membentuk kerajaan baharu, menyebabkan parlimen digantung.
Pakatan Harapan (PH) memenangi 82 kerusi, diikuti Perikatan Nasional (PN) dengan 73 kerusi dan BN (30) kerusi.
Gabungan Parti Sarawak (GPS) memenangi 22 kerusi, Parti Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dengan enam kerusi, Warisan (tiga kerusi), bebas (dua kerusi) dan Parti Bangsa Malaysia (satu kerusi).
Sumber dipetik sinardaily[dot]my