Imej untuk tujuan ilustrasi sahaja – FILE PIX
SEPANG – Permukaan trek Litar Antarabangsa Sepang (SIC) dijangka menjalani kerja-kerja penyelenggaraan dan naik taraf mulai Mac hingga Mei bagi memastikan keselamatan pengguna terutama menjelang perlumbaan MotoGP Grand Prix (GP) Malaysia November ini.
Ketua Pegawai Eksekutif SIC Azhan Shafriman Hanif berkata, naik taraf di sepanjang trek sepanjang 5.54 kilometer (km) itu hanya melibatkan kira-kira 1km di selekoh 7, 8 dan 9.
“Litar ini umpama stadium bola sepak yang juga memerlukan penyelenggaraan dari semasa ke semasa, kita lihat ada beberapa tempat yang perlu dinaik taraf.
Jadi kami memerlukan bantuan kerajaan untuk membantu kami memastikan litar ini dalam keadaan baik. Lagipun untuk menurap litar bukan murah, kerana untuk menurap sepanjang 5.54km memerlukan kira-kira RM20 juta,” katanya kepada pemberita pada sesi ujian MotoGP Musim Sejuk 2023 di sini hari ini.
Azhan Shafriman berkata, kerja-kerja penambahbaikan litar sepatutnya dilakukan pada 2021, namun penularan wabak COVID-19 menyebabkan ia ditangguhkan.
Kali terakhir SIC menaik taraf trek sepanjang 5.54 kilometer itu adalah pada 2016. – BERNAMA
Sumber dipetik:
sinardaily[dot]my