KUALA LUMPUR – Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) dan Persatuan Bola Sepak Qatar (QFA) akan bertemu pada 6-7 Feb di Doha, Qatar untuk menentukan tarikh perlawanan Akhir Piala Asia 2023.
Setiausaha Agung AFC Datuk Seri Windsor John berkata mesyuarat itu, melibatkan wakil daripada badan induk dunia FIFA, juga akan memuktamadkan venue serta tarikh undian peringkat kumpulan bagi kejohanan 24 pasukan itu, yang turut melibatkan Malaysia.
“Kami tidak mempunyai masa lagi, kami menyasarkan untuk menyelesaikan semua perkara penting berkaitan Piala Asia akan datang pada pertemuan dua hari dengan tuan rumah, Qatar, bulan depan. Yakinlah, Piala Asia 2023 akan diadakan pada Januari 2024 ,” katanya kepada Bernama ketika ditemui selepas majlis akreditasi Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) sebagai pusat kecemerlangan perubatan AFC, di sini, hari ini.
Oktober lalu, AFC mengumumkan bahawa Qatar, yang juga menjadi tuan rumah Piala Dunia FIFA 2022 baru-baru ini, memenangi bidaan untuk mengadakan Piala Asia 2023, menggantikan China berikutan ketidakpastian mengenai langkah kesihatan berikutan kebimbangan baharu terhadap varian baharu Covid 19.
China, yang sepatutnya menjadi tuan rumah kejohanan 24 pasukan dari 16 Jun-16 Julai di 10 bandar, menarik diri Mei lalu dengan menyebut “keadaan luar biasa yang disebabkan oleh pandemik COVID-19” sebagai alasan mereka.
Juara bertahan Qatar, yang memenangi kejuaraan sulung selepas menewaskan Jepun 3-1 pada perlawanan akhir edisi 2019, sebelum ini pernah menjuarai Piala Asia pada 1988 dan 2011.
Sementara itu, Windsor, yang mengalu-alukan PPUM sebagai ahli ketiga pusat perubatan kecemerlangan mereka selepas Institut Sukan Negara dan Pusat Perubatan Sukan Kuala Lumpur, mengucapkan terima kasih kepada PPUM kerana menyokong visi dan misi mereka untuk menjaga serta mempromosikan kesihatan pemain bola sepak.
“Perkongsian kami merupakan permulaan satu lagi bab untuk meningkatkan tahap perubatan sukan di rantau ini dan komitmen PPUM akan menjadi penting untuk ini,” katanya.
Pengarah PPUM Prof Dr Nazirah Hasnan pula percaya kepakaran dan pengalamannya berurusan dengan kelab bola sepak tempatan seperti Selangor FC dan Perak FC adalah lebih daripada mencukupi untuk menjayakan perkongsian dengan AFC ini.
Ketua Jabatan Perubatan Sukan PPUM Prof Madya Dr Mohd Nahar Azmi Mohamed yakin pengiktirafan yang diberikan akan membantu mereka mengumpul lebih banyak data berkaitan isu kesihatan pemain.- BERNAMA
TAGS: AFC, PPUM, Windsor John, Qatar, Piala Asia