KUALA LUMPUR – Dua NGO hari ini mencadangkan kerajaan meminda segera Akta Pencegahan Jenayah (POCA) 1959 bagi membolehkan polis membendung kegiatan jenayah komersial dengan lebih berkesan.
NGO — Pertubuhan Kemanusiaan Antarabangsa Malaysia (MHO) dan Penjagaan Jenayah Komuniti Malaysia (MCCC) — berharap undang-undang yang lebih ketat akan membantu polis memastikan mereka yang terlibat dalam aktiviti jenayah komersial menerima hukuman yang sepatutnya.
Setiausaha Agung MHO Datuk Hishamuddin Hashim berkata ketika ini polis berdepan kesukaran mendapatkan bukti untuk membawa penjenayah ke muka pengadilan seperti membabitkan Seksyen 4 Akta berkenaan yang menyentuh perintah reman dan tempoh tahanan bagi individu yang ditahan di bawah POCA.
“Sebenarnya polis sukar untuk mengesan dalang tersebut kerana sindiket ini menggunakan proksi atau penama yang tidak mempunyai sebarang aset atau tidak kisah berdepan risiko atau saman sivil. Jadi sebab itu bila nak buat tangkapan atau wang. jejak, sukar untuk dibuktikan kepada penjenayah utama.
“Dari sudut penyiasatan, undang-undang yang wujud pada hari ini nampaknya tidak memihak kepada PDRM sehingga menjejaskan mangsa. Berbeza dengan kes dadah yang ada Langkah-langkah Pencegahan Khas, jenayah komersial ini agak perlahan, mungkin berkaitan dengan Akta Keterangan 1950,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mengadakan kunjungan hormat kepada Timbalan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman Datuk Muhammed Hasbullah Ali dan membentangkan 200 laporan polis oleh mangsa penipuan pelaburan Zutello di sini hari ini.
Hishamuddin seterusnya berkata, sudah tiba masanya negara mempunyai undang-undang yang lebih ketat bagi mengelak lebih ramai rakyat menjadi mangsa sindiket ini.
Sementara itu, Presiden MCCC Tan Sri Musa Hassan yang hadir pada kunjungan hormat itu berkata beliau akan memanjangkan perkara itu kepada Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail dan Peguam Negara (AG) Tan Sri Idrus Harun.
Ditanya mengapa banyak kes penipuan berakhir dengan saman sivil, Musa berkata kadangkala, ia disebabkan kekurangan bukti.
“Polis hanya menjalankan siasatan, dan sama ada kes itu akan didakwa di mahkamah adalah mengikut budi bicara Peguam Negara. Kadangkala, apabila sampai ke Peguam Negara, didapati kekurangan bukti kukuh, dan kes itu gagal dibawa ke mahkamah. mahkamah.
“Sebab itu kita perlukan undang-undang pencegahan untuk membawa sindiket ini ke muka pengadilan kerana pemimpin mereka tidak terlibat secara langsung. Mangsa juga tidak pernah berjumpa dengan dalang sindiket itu,” katanya.
Pada April tahun lalu, Mahkamah Persekutuan memutuskan bahawa keseluruhan Seksyen 4 POCA 1959 adalah bercanggah dengan perlembagaan dan menasihatkan semua tangkapan yang dibuat oleh PDRM di bawah Akta itu ditangguhkan sehingga satu tarikh yang akan diumumkan kemudian. – Bernama
Sumber dipetik:
sinardaily[dot]my