Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang berkata, logo mereka akan menjadi faktor kuat untuk memikat pengundi.
“Pas kuat di Terengganu, Kelantan dan Kedah dan kita akan guna logo bulan. Negeri lain mungkin tak ‘kenal’ Pas, tak apa kita maafkan mereka.
“Apa yang penting kita mengajak orang Islam, bukan Islam yang menerima atau memberi rasuah untuk membersihkan diri daripada keadaan itu,” katanya ketika menyampaikan kuliah duha di Pantai Kelulut, di sini, pada Jumaat.
Pada Julai lalu Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata Bersatu dan Pas telah membuat keputusan untuk menggunakan logo PN pada PRU15 dan ini dipersetujui dengan Hadi.
Bagaimanapun, Pengarah Pilihan Raya Pas Pusat Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor pada persidangan Pas ke-68 awal bulan ini berkata sebilangan besar wakil rakyat bimbang dengan logo biru PN kerana ia sama dengan warna BN.
Pada September Sanusi berkata Pas telah mencadangkan untuk menggunakan logo mereka di Terengganu, Kelantan dan Kedah dan perkara itu dibawa ke Mesyuarat Majlis Tertinggi PN.